Sepanyol negara Eropah pertama catat 500,000 jangkitan

MADRID, 8 SEPT – Sepanyol menjadi negara pertama di barat Eropah mencatat angka melebihi 500,000 jangkitan koronavirus, dengan pemain bola sepak Perancis, Kylian Mbappe menjadi bintang sukan terbaharu yang diuji positif di benua tersebut.

Angka baharu dari Madrid dikeluarkan selepas kebimbangan yang semakin meningkat mengenai peningkatan virus di seluruh Eropah, dengan Perancis mengenakan sekatan yang lebih ketat, manakala kes di Britain melonjak dan sekolah disambung semula di sekitar rantau itu dalam beberapa hari kebelakangan.

Sepanyol telah mengawal penularan wabak, tetapi angka jangkitan melonjak sejak sekatan telah dilonggarkan secara penuh pada hujung Jun lalu, dan terdapat kerisauan mengenai pembukaan semula sekolah di negara itu.

“Jika kita mengambil tanggungjawab dan saya di sini termasuk kanak-kanak, saya percaya membuka semula sekolah adalah sesuatu yang tidak mustahil berlaku,” kata pegawai menteri kesihatan, Fernando Simon kelmarin.

“Meskipun ia akan mempunyai impak, ia bukanlah satu impak yang melampau,” katanya. Walau bagaimanapun ramai ibu bapa masih enggan menyekolahkan anak-anak mereka.

Membuka sekolah ‘disifatkan sebagai eksperimen, kita adalah bahan ujiannya,” kata Aroa Miranda, ibu kepada dua orang anak berusia 37 tahun.

Di negara jiran Maghribi, kerajaan telah menutup kesemua sekolah dan mengenakan perintah berkurung di Casablanca pada hari di mana mereka sepatutnya membuka semula kelas-kelas selepas peningkatan kes di bandar itu. Para pegawai berkata virus telah memberikan risiko yang sangat mendalam di negara utara Afrika itu jika ia tidak dapat dikawal, tetapi beberapa ibu bapa merasa tidak puas hati.

“Mereka berasa gembira untuk pulang ke sekolah esok,” tulis salah seorang ayah menerusi Twitter.

“Bagaimana anda menjelaskan perkara ini kepada kanak-kanak yang berusia enam dan lapan tahun?”

Sekatan telah dikenakan semula di Perancis di mana lebih dari tujuh wilayah telah diletakkan di bawah senarai merah selepas merekodkan kadar jangkitan di antara 7,000 dan 9,000 kes berturut-turut. – AFP