Sepanyol pecat Lopetegui

KRASNODAR, 13 Jun – Sepanyol secara dramatiknya memecat jurulatih Julen Lopetegui hari ini dan melantik pengarah persekutuan sukan, Fernando Hierro, hanya dua hari sebelum perlawanan pembukaan pasukan itu di Piala Dunia.

Dalam pengumuman mengejut lewat kelmarin, Real Madrid telah melantik Lopetegui sebagai pengganti Zinedine Zidane selepas kejohanan Rusia, mencetuskan kemarahan dalam kalangan persekutuan dan penyokong Sepanyol mengenai masa ia diumumkan.

Pada satu sidang media yang lama tertangguh di pangkalan skuad Piala Dunia Sepanyol di Krasnodar, Ketua Persekutuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF), Luis Rubiales mengekspresikan tidak senangnya mengenai waktu pengumuman itu dibuat, yang mengancam menjejaskan peluang Sepanyol di Piala Dunia.

“Pasukan kebangsaan adalah pasukan untuk semua penduduk Sepanyol dan terdapat beberapa keputusan yang perlu kami lakukan untuk melindungi nilai-nilai lain,” kata Rubiales.

“Perundingan adalah sah namun ia (pengumuman) terjadi tanpa RFEF dimaklumkan terlebih dahulu sehingga lima minit sebelum satu kenyataan media dikeluarkan. Ini adalah pesanan kepada semua pekerja di dalam persekutuan bahawa ada cara yang betul untuk melakukan sesuatu perkara.”

Presiden RFEF (tengah) ketika menghadiri sidang media di Krasnodar bagi mengumumkan pemecatan jurulatih Sepanyol, Lopetegui. – AP

Lewat hari ini, Sepanyol telah menamakan Hierro sebagai jurulatih Sepanyol di Rusia.

“Fernando Hierro akan meneruskan peranan kejurulatihan di Piala Dunia Rusia,” umum RFEF.

Pengalaman kejurulatihan Hierro hanya terhad kepada mengendalikan pasukan divisyen kedua Sepanyol, Oviedo selama satu musim.

Lopetegui baharu sahaja menandatangani perjanjian lanjutan sehingga 2020 bulan lepas dan tidak pernah merasai kekalahan dalam 20 perlawanan kendaliannya sebagai bos Sepanyol.

Sepanyol dijangka berdepan juara Eropah, Portugal di Sochi awal pagi Sabtu ini sebelum mengadapai Iran dan Maghribi dalam Kumpulan B. – AFP