Sepanyol tawarkan pertolongan

ROM, 12 Jun – Sepanyol kelmarin menawarkan untuk mengambil kapal yang terkandas di Mediterranean dengan 629 pendatang berada di dalam kapal itu selepas Itali dan Malta menolak kapal itu untuk berlabuh di pelabuhan mereka.

Kapal Aquarius memberi amaran bahawa bekalan makanan dan minuman yang dibekalkan oleh tentera laut Malta mungkin bertahan sehingga Selasa.

Para pendatang termasuk wanita mengandung dan beberapa orang kanak-kanak, diselamatkan oleh SOS Mediterranee dari Perancis pada Sabtu lalu.

Malta dan kerajaan baharu di Itali masing-masing menolak untuk membawa masuk pendatang dan menuduh antara satu sama lain kerana gagal mematuhi peraturan.

Penolakan untuk menerima kapal Aquarius di Itali merupakan langkah pertama anti-pendatang sejak Menteri Dalam Negeri, Matteo Salvini mengambil alih jawatan bulan ini.

Gambar tidak bertarikh yang dikeluarkan oleh SOS Mediterranee NGO Perancis pada 11 Jun 2018 dan didedahkan melalui akaun Twitter menunjukkan, para pendatang dalam kapal Aquarius sebelum bertolak di Laut Mediterranean. Kelmarin Sepanyol menawarkan pertolongan untuk membawa balik kapal yang diisi dengan 629 pendatang. – AP

Salvini berkata ‘kemenangan’ melalui Twitter selepas konfrontasi selama dua hari bersama Malta mengenai isu pendatang yang berakhir dengan pertolongan yang ditawarkan oleh Sepanyol.

Pentadbiran baharu Sepanyol yang diketuai oleh Perdana Menteri Sosialis, Pedro Sanchez bersetuju untuk membenarkan Aquarius berlabuh di pelabuhan timur Valencia dan mengakui bahawa ia merupakan satu kemestian untuk melakukannya.

Tetapi menteri luar baharu Sepanyol, Josep Borrell berkata langkah itu adalah bertujuan untuk menggariskan keperluan untuk perpaduan dari seluruh blok.

“Itali menerima sejumlah besar pendatang dan setakat ini beberapa negara Eropah lain tidak menunjukkan sokongan,” beritahu Borrell di Madrid.

Katanya, warga Eropah perlu bersatu untuk berdepan dengan masalah di mana ia juga masalah untuk semua dan bukan sahaja untuk Greece selama setahun dan seterusnya Itali.”

Pengarah SOS Mediterranee, Sophie Beau berkata tawaran Sepanyol itu sangat menggalakkan dan menunjukkan bahawa beberapa wilayah sangat peka dengan bantuan kemanusiaan.” – AFP