MOSCOW, 2 Julai – Pasukan tuan rumah, Rusia mengejutkan juara 2010, Sepanyol menerusi penentuan penalti 4-3 untuk mara ke peringkat suku akhir Piala Dunia awal pagi semalam.
Penjaga gol Rusia, Igor Akinfeev layak dilabel wira tuan rumah apabila menggagalkan dua sepakan Sepanyol menerusi Koke dan sepakan terakhir Iago Aspas.
Perlawanan terpaksa diheret ke masa tambahan apabila kedudukan kekal 1-1 berakhir 90 minit permainan dengan tiada jaringan terhasil ketika masa tambahan.
Sepanyol yang mendominasi sebahagian besar permainan mendahului seawal minit ke-12 apabila Sergei Ignashevich melakukan kesilapan menjaringkan gol ke gawang sendiri.
Begitupun, kedudukan itu kembali seimbang apabila pengadil menganugerahkan Rusia penalti selepas pertahanannya, Gerard Pique memegang bola dalam kotak penalti.

Artem Dzyuba tidak melakukan kesilapan untuk menewaskan David De Gea pada minit ke-41.
Terdesak memburu jaringan, Sepanyol memasukkan pemain berpengalaman Andres Iniesta pada separuh masa kedua tetapi ia masih gagal untuk menembusi pertahanan Rusia yang dikawal ketat.
Situasi sama berulang ketika masa tambahan dengan Sepanyol tidak berjaya untuk menembusi pertahanan penuh berdisiplin Rusia yang membawa ke penentuan penalti.
Sebagai rekod, Sepanyol sebelum ini pernah disingkirkan di Piala Dunia menerusi penentuan penalti pada 2002 di tangan Korea Selatan.
“Kami berharap untuk sepakan penalti,” menurut Akinfeev selepas tamat perlawanan yang berakhir dengan keputusan 1-1.
“Kami menikmati Piala Dunia yang mantap. Bukan sahaja untuk penyokong kami tetapi penyokong dari luar negara yang merasakan suasana dan faham bahawa pemain Rusia tahu bagaimana untuk bermain dan mahu bermain bola sepak.”
Sementara itu, menurut jurulatih Rusia, Stanislav Cherchesov berkata: “Kami berusaha selama dua tahun untuk mencapainya dan kami melakukan kerja yang bagus.”
Keputusan ini merupakan malapetaka buat Sepanyol di mana persediaan kejohanan pasukan itu terjejas susulan pemecatan pengurus Julen Lopetegui sebelum Piala Dunia bermula. – AFP

































