Separuh jalan Jambatan SHOAS ditutup

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 NOV – Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan memaklumkan orang ramai terutamanya para pengguna jalan raya mengenai penutupan sementara separuh jalan di Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien (SHOAS), hala Temburong dari T6.8 hingga T8.8 bermula pukul 10 malam ini hingga 4 petang esok.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, JKR menjelaskan bahawa penutupan sementara berkenaan adalah bagi operasi pemunggahan jentera berat dari atas jambatan untuk kerja-kerja pemotongan pokok-pokok berisiko tinggi.

Sehubungan itu, JKR menasihatkan para pengguna jalan raya tersebut untuk sentiasa berhati-hati apabila melalui kawasan tersebut di samping mematuhi tanda-tanda lalu lintas dan had laju yang dibenarkan demi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini.

Bagi orang ramai yang mempunyai sebarang aduan, boleh menghubungi pihak jabatan melalui Talian Darussalam 123 dan Livechat 8333123 atau e-mel pro@pwd.gov.bn.

JKR memaklumkan orang ramai mengenai penutupan sementara separuh jalan di Jambatan SHOAS. – Gambar Serahan JKR