Separuh penduduk Eropah sudah divaksin

BRUSSELS, 23 JULAI – Lebih separuh daripada penduduk dewasa Eropah sudah diberi vaksin penuh, kata Kesatuan Eropah (EU) semalam.

Pencapaian itu dicatat ketika negara di seluruh Eropah dan Asia bertarung dengan penularan virus yang dikatakan akibat varian Delta yang menjangkiti dengan cepat. Bank Pusat Eropah berkata ketidaktentuan mengenai gelombang jangkitan bermakna ia terus membuka aliran tunai untuk memastikan pemulihan ekonomi yang baru dilancarkan, tidak sia-sia.

Canselor Jerman, Angela Merkel berkata jangkitan di negaranya meningkat dengan pesat, sementara Sukan Olimpik Jepun yang tertangguh sebelum ini, bakal dibuka dengan hampir tiada penonton dan berlangsung dengan peraturan ketat COVID-19.

Lebih daripada empat juta orang menjadi korban akibat virus terbabit sejak Disember 2019, biarpun kadar vaksinasi meningkat di seluruh dunia, susulan penularan varian Delta meledakkan peningkatan jangkitan dan mendorong kerajaan kembali menguat kuasa langkah-langkah antivirus.

Semalam, EU menyatakan kira-kira 200 juta warga Eropah sudah menerima vaksinasi penuh, iaitu lebih daripada separuh populasi dewasanya, namun tidak mencapai 70 peratus sasaran yang ditetapkan untuk musim panas ini.

Dengan data terbaharu, Merkel mendesak supaya lebih ramai rakyat negaranya diberikan vaksin segera, sambil menyuarakan supaya berwaspada dengan lonjakan baharu di Jerman.

“Kita melihat pertumbuhan yang sangat pesat. Dengan vaksinasi, ia langkah kecil untuk kembali kepada keadaan normal,” katanya pada sidang media di Berlin. – AFP

Orang ramai menunggu untuk menerima suntikan dos vaksin COVID-19 di pusat vaksinasi di Perpignon, selatan Perancis. – AFP