Sepatu cinta

“SEDIH hati saya bila me-ngenangkan sikap suami yang dingin tidak seperti dulu. Bayangkan bila saya ungkapkan rasa rindu padanya, dia balas bagai acuh tak acuh sahaja.”

“Saya rasa bagai tidak dihargai. Biarlah saya pendam sahaja perasaan saya selepas ini. Itu lebih baik rasanya…” Mungkin itulah luahan yang sering kita dengar lantaran ada golongan isteri yang kurang mendapat perhatian daripada suaminya.

Pastinya, di setiap laluan kehidupan berumah tangga sepasang suami isteri, sering kali ujian dan cabaran menerjah ke dalam mahligai cinta yang dibina. Justeru, apa yang perlu dilakukan adalah pembuktian jiwa dari setiap hati. Bahawa mereka mampu menanganinya dengan kesungguhan cinta terhadap pasangan.

Untuk itu, usaha yang berterusan dan padu hendaklah seiring demi memelihara perasaan agar tetap utuh; cinta kerana Allah bagi mengharungi badai rumah tangga. Antara ilmu berguna yang boleh kita pelajari ialah:

-Cinta bukanlah sekadar kata-kata, tetapi cinta menagih pembuktian.

Setiap laluan kehidupan berumah tangga sepasang suami isteri, sering kali ujian dan cabaran menerjah ke dalam mahligai cinta yang dibina.
Setiap laluan kehidupan berumah tangga sepasang suami isteri, sering kali ujian dan cabaran menerjah ke dalam mahligai cinta yang dibina.
Jika kaki kanan di hadapan, kaki kiri menanti penuh sabar di belakangnya. Begitu juga bila kaki kiri melangkah, kaki kanan pula menanti giliran.
Jika kaki kanan di hadapan, kaki kiri menanti penuh sabar di belakangnya. Begitu juga bila kaki kiri melangkah, kaki kanan pula menanti giliran.

-Pembuktian itu pula harus dijiwai dengan kesungguhan dan ketelusan dalam mendepani segala ujian.

-Kebaikan isteri juga harus dipuji seadanya, bukan niat untuk membenihkan sifat tinggi diri, sebaliknya pembaikan potensi diri untuk melakukan yang lebih baik pada masa akan datang.

-Rasulullah SAW adalah contoh pencinta yang paling tulus memberikan cinta buat para isterinya.

Sedekah perasaan

Sebagai manusia adalah normal kita mahu dihargai dan penghargaan itu menjadi bukti bahawa kita amat bernilai kepada insan yang kita sayangi itu. Tapi ingat dan peganglah pada pesanan Nabi SAW ini: Setiap kebajikan atau kebaikan itu adalah sedekah.

Oleh itu, anggaplah kerinduan sebagai satu ‘sedekah’ perasaan sang isteri buat suaminya. Memang tidak mudah menjumpai lelaki bergelar suami yang bijak memberi reaksi kepada perasaan isteri. Sementara pula lelaki bukan kaya dengan emosi tetapi dikurniakan kelebihan oleh Ilahi untuk bersikap rasional berbanding isteri. Justeru, berlapang dadalah. Anggap sahaja kata-katanya itu sebagai satu gurauan. Itu lebih menenangkan daripada asyik memikirkannya.

Sepatu cinta…

Walau apa jua gayanya, semahal mana pun harganya, ia pasti terdiri dari dua posisi yang berbeza. Sepatu kiri dikenakan pada kaki kiri, manakala sepatu kanan dipakai pula oleh kaki sebelah kanan. Perbezaan inilah yang menjadikan pemakainya selesa, kakinya mampu berjalan serasi bersama.

Tidak mungkin sepasang sepatu hanya mempunyai posisi kanan sahaja, tanpa kiri sebagai pelengkapnya. Jika itu berlaku, pasti pemakainya hilang selesa dan nyaman. Jika kaki kanan di hadapan, kaki kiri menanti penuh sabar di belakangnya. Begitu juga bila kaki kiri melangkah, kaki kanan pula menanti giliran.

Sepatu dipakai dengan ketinggian yang sama. Mana mungkin sepatu digayakan jika tinggi kiri dan kanannya tidak sama. Pasti terhincut-hincut si pemakai, lalu pincanglah penampilan walau dalam pakaian ribuan harga!

Lebih sukar lagi bila satu posisi hilang, sangat sukar mencari pengganti, kerana perbezaan itu satu kesempurnaan yang tidak mudah digalang ganti. Begitulah ibaratnya pasangan bercinta, suami isteri yang bersatu atas nama-Nya. Sepatu cinta, lambang kasih mereka…

Walau berbeza, namun saling memerlukan bagi melengkapkan keharmonian rumah tangga. Justeru, suami mahupun isteri harus tetap serasi di tengah semua perbezaan yang ada untuk mendapatkan kerukunan dan kebahagian dalam berumah tangga.