Seperti atlet menang pingat

Kejayaan memenangi trofi Persembahan Komedi Terbaik, Anugerah Kreatif Akademi Asia (AAA) 2019 di Singapura, baru-baru ini, dianggap Jihan Muse sebagai penghargaan buat pelawak berhijab.

Jihan atau sebenarnya, Nuur Jihan Musa, 36, berkata kemenangan melalui drama bersiri Keluarga Baha Don siaran saluran perkhidmatan penstriman Viu itu membuktikan wanita mampu meneroka apa sahaja bidang.

“Apabila nama saya diumumkan sebagai pemenang kategori itu, pengarah Keluarga Baha Don yang menjadi wakil saya untuk menerima anugerah itu memberitahu, ramai tercari-cari siapa wanita misteri bertudung yang kelakar itu. Secara jujur, kemenangan ini sangat mengejutkan. Kalaulah saya ada di pentas menerima anugerah itu, saya tak tahu nak cakap apa. Cuma apabila dimaklumkan mengenainya, perasaan saya sama seperti atlet yang menang pingat di luar negara,” katanya kepada media.

Jihan bagaimanapun tidak mahu menjanjikan apa-apa peningkatan dalam kerjaya dengan kejayaan diraih.

“Asalkan saya gembira dengan kerja yang saya lakukan dan ikhlas, saya percaya peningkatan dalam karier akan berlaku dengan sendiri,” katanya.

Dalam kategori Persembahan Komedi Terbaik, Jihan bersaing dengan pelawak dari India, China, Hong Kong, Thailand dan Filipina. – Agensi

Jihan atau sebenarnya, Nuur Jihan Musa berkata kemenangan itu membuktikan wanita mampu meneroka apa sahaja bidang. – Agensi