Seperti padang jarak padang tekukur

TAAL, FILIPINA, 21 JAN – Landskap tandus diselaputi debu dengan pokok tinggal ranting akibat dimusnahkan oleh letusan gunung berapi Taal Filipina berkontras dengan kehidupan yang ada di tapak sifar bencana hari ini.

Kawasan pulau itu telah terkubur dengan gumpalan debu setelah Taal meletus minggu lalu dan masih lagi di bawah arahan pemindahan mandatori yang dikhuatiri mencetuskan letupan lebih besar.

Bagaimanapun puluhan kerbau putih berlegar-legar dekat rumah yang diselaputi debu dengan bot berwarna terang berlabuh di pesisir sungai hari ini, menurut jurugambar AFP yang menaiki pesawat tentera meronda sekitar kawasan itu.

Kelihatan kepulan asap muncul dari kawah gunung berapi.

Pihak berkuasa telah berkata sebarang tanda-tanda yang muncul berlakunya ledakan telah berkurangan beberapa hari kebelakangan.

Pemandangan daripada udara menunjukkan rumah-rumah musnah yang diliputi lumpur sementara sekumpulan kerbau kelihatan di sekitar pokok-pokok kering kontang di kaki gunung berapi Taal. – AFP

Namun para saintis memberi amaran gunung berapi masih lagi berisiko mencetuskan letupan besar dengan lebih 110,000 orang telah berlindung ke tempat selamat.

Kira-kira 3,000 orang yang tinggal di pulau itu telah diarahkan berpindah, walaupun ramai yang membuat perjalanan balik untuk menyelamatkan ternakan dan barangan mereka dari rumah.

Banyak rumah musnah atau tertimbus dek debu, walaupun AFP menyaksikan sebuah rumah atapnya telah disapu bersih.

Ramai keluarga sebelumnya menawarkan perkhidmatan katering kepada para pelancong yang mengunjungi gunung berapi itu – sebuah kawasan tarikan popular di Filipina meskipun risiko ledakan.

Kerajaan berkata ia sedang merancang untuk menempatkan mereka secara kekal, dan menukarkan pulau itu menjadi apa yang para pegawai gelar sebagai tanah tidak dihuni. – AFP