Serah derma anak yatim secara pandu lalu

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MEI – Seramai 4,436 orang anak yatim di seluruh negara yang berdaftar di bawah Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) akan menerima derma melalui kaedah penyerahan secara pandu lalu (drive-through) yang bakal diadakan di keempat-empat daerah.

Ia akan dikendalikan oleh JAPEM, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan kerjasama jabatan-jabatan daerah, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) serta Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD).

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Timbalan Setiausaha Tetap di KKBS, Dayang Saidah binti Haji Wahid @ Burut semasa sidang media pelancaran SMS Brunei Prihatin untuk Tabung Anak-yatim Yatim di Dewan Citra Budaya, KKBS, kelmarin.

Beliau seterusnya memaklumkan bahawa pada 4 (esok) dan 5 Mei, ia akan dikendalikan di pusat-pusat pandu lalu khas iaitu Daerah Brunei dan Muara di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas; Daerah Tutong di Dewan Seri Kenangan, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Tutong; Daerah Belait di Dewan Persidangan Kuala Belait dan Daerah Temburong di Bangunan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), Temburong.

Seterusnya, bermula 6 hingga 8 Mei, kaedah penyerahan derma berkenaan akan dibuat di semua cawangan JAPEM di keempat-empat daerah.

Sehubungan itu, dipohonkan kerjasama semua pihak agar dapat mengikut arahan dan peraturan yang telah ditetapkan, terutama bagi memastikan kaedah-kaedah keselamatan dalam keadaan negara menghadapi pandemik COVID-19 pada masa ini, di mana hanya seorang sahaja wakil bagi setiap keluarga yang dibenarkan untuk mengambil sumbangan di tempat-tempat yang dinyatakan di daerah masing-masing.

Di samping itu, mereka yang kurang sihat terutamanya yang mempunyai masalah pernafasan, demam panas, selesema dan batuk, warga emas mempunyai penyakit kronik, Mempunyai terimunokompromi seperti penyakit-penyakit  buah pinggang, paru-paru, kanser dan sebagainya, wanita yang mengandung serta kanak-kanak di bawah umur 12 tahun tidak dibenarkan hadir ke tempat penyerahan derma berkenaan.

Anak yatim atau wakil juga diminta supaya mengamalkan penjarakan sosial dan hadir secara berperingkat serta tidak hadir terlalu awal.

Mereka juga dikehendaki untuk membawa dokumen-dokumen asal bagi anak-anak yatim yang diwakilkan seperti kad anak yatim (yang dikeluarkan oleh JAPEM), kad pengenalan asal atau surat beranak anak-anak yatim asal dan kad pengenalan asal wakil.

Sumbangan-sumbangan yang akan diserahkan adalah daripada Tabung Anak Yatim berjumlah $221,800, Tabung Dana Anak Yatim Daerah Brunei dan Muara berjumlah $42,720 dan BIBD berjumlah $221,800.

Kadar sumbangan yang dihulurkan kepada anak-anak yatim di seluruh negara melalui JAPEM adalah tertakluk kepada jumlah sumbangan yang diterima daripada orang ramai kepada Tabung Anak Yatim, JAPEM.

Oleh itu, orang ramai digalakkan untuk memberikan sumbangan berbentuk kewangan kepada tabung berkenaan sama ada melalui Urus Setia Tabung Anak Yatim di JAPEM, Tingkat 2, Bangunan KKBS, Jalan Kebangsaan pada waktu pejabat ataupun menghulurkan derma melalui SMS Brunei Prihatin bagi Tabung Anak Yatim yang telah dilancarkan kelmarin.

Untuk pertanyaan lanjut orang ramai bolehlah menghubungi Bahagian Keluarga, Wanita dan Kanak-kanak, JAPEM di talian 2380704 semasa waktu pejabat atau menghubungi hotline JAPEM iaitu Talian Kebajikan 141 serta Talian ANAK 121.