Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Ogos – Seramai 32 orang peserta yang terdiri daripada penerima biasiswa Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Kementerian Pendidikan telah mengikuti Program Ta’ziz lmi anjuran Pusat Dakwah Islamiah (PDI), KHEU melalui Unit Belia, Bahagian Penyebaran Dakwah, yang diadakan di Bilik Al-Mauizzah, PDI.
Program yang diadakan selama tiga hari bermula hari ini sehingga 11 Ogos itu bertujuan bagi melengkapkan para pelajar dengan tiga komponen ilmu dalam Islam iaitu akidah, ibadah dan akhlak untuk bekalan belajar di seberang laut.
Pada masa yang sama, ia juga bertujuan untuk memperkuatkan pengetahuan agama Islam dan penghayatan ajaran-ajarannya untuk menjadikannya sebagai cara hidup yang lengkap dan memberikan kefahaman yang betul mengenai akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah bagi mengukuhkan serta memantapkan lagi akidah para pelajar.
Di samping itu juga untuk meningkatkan pengetahuan dan penghayatan pelajar dalam perkara ibadah, akhlak mulia dan mantap dari segi kerohanian.
Selain itu, para pelajar juga akan diterangkan mengenai hukum-hukum yang berhubung kait dengan pemakanan halal dan penjelasan mengenai isu-isu semasa.

Para fasilitator program terdiri daripada pegawai-pegawai dari PDI, Bahagian Penguatkuasa Ugama, Bahagian Kawalan Makanan Halal dan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Antara pengisian program adalah sesi taklimat dan ice breaking, zikir-zikir amalan pelajar, praktikal wuduk dan tayamum serta sembahyang jama’ dan qasar dalam kapal terbang, akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan penyelewengan akidah di kalangan remaja.
Program juga diisikan dengan aktiviti lawatan ke Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah, sesi perkongsian pengalaman daripada Bahagian Penguatkuasaan Ugama dan klinik Al-Fatihah.
Program seumpama ini diharapkan akan dapat melahirkan belia-belia yang beriman, berakhlak, berilmu, berkemahiran, berdedikasi, integriti, berkualiti, produktif, dinamik dan kreatif selaras dengan objektif penubuhan Unit Belia, Bahagian Penyebaran Dakwah, PDI.