Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Masalah anjing liar semakin resahkan pengunjung

    Oleh Yusrin Junaidi

    Berikutan laporan Media Permata mengenai pengunjung sekitar kawasan Taman Mahkota Jubli Emas dan bawah Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (RIPAHS) yang mengalami kecederaan akibat digigit anjing baru-baru ini, ia semakin meresahkan para pengunjung dan pelari di sana.

    Susulan kes serangan tersebut, terjadi lagi satu insiden baharu di mana salah seorang lagi pengunjung digigit oleh anjing liar pada bahagian tangan.

    Menurut mangsa, beliau pada masa itu hanya berjalan kaki di kawasan itu dan secara tiba-tiba sekumpulan anjing telah mengejarnya dan seekor daripadanya menggigitnya di bahagian tangan.

    Tinjauan Media Permata ke kawasan berkenaan baru-baru ini mendapati beberapa ekor anjing masih lagi berkeliaran di kawasan itu.

    Menurut Noel Banzuela Collantes, 47, pengunjung yang sering berlari di kawasan berkenaan menyatakan rasa resah dan kasihan kepada mereka yang menjadi mangsa dikejar anjing, dan ada beberapa daripada mereka cedera akibat digigit anjing.

    Noel menunjukkan kawasan keberadaan anjing-anjing yang sering mengganggu pengunjung.

    Salah seorang informan lagi, Haji Morsidi meluahkan rasa bimbang anjing berkenaan mampu membawa penyakit anjing gila (Rabies) walaupun setakat ini belum ada lagi kes seumpamanya dilaporkan.

    Tambahnya, penyakit berkenaan boleh membawa kematian dan pihak relevan perlu melakukan tindakan secepatnya untuk membanteras anjing-anjing berkenaan yang semakin bertambah jumlahnya sejak akhir-akhir ini.

    “Ada beberapa kejadian pengunjung dikejar anjing di kawasan ini dan ia amat membimbangkan sekiranya berlaku kepada kanak-kanak kerana ramai antara mereka bermain di kawasan berkenaan terutama pada sebelah pagi di hujung minggu.

    “Kami berharap pihak relevan secepatnya dapat melakukan tindakan susulan sama ada menangkap anjing liar ini bagi menghilangkan keresahan pengunjung di sekitar kawasan ini,” katanya

    Jelas beliau lagi, kumpulan anjing ini sering berada di kawasan lapang dan tumpuan dan pada waktu malam kebanyakan anjing ini akan menjadikan bawah Jambatan RIPAHS sebagai tempat tidur.

    Beberapa orang pengunjung juga memberitahu anjing-anjing berkenaan merupakan binatang peliharaan yang dijaga oleh salah seorang penduduk di kawasan berkenaan yang sering memberi makan di kawasan bawah jambatan berkenaan.

    Menurut Akta Lesen Anjing yang dikeluarkan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Negara Brunei Darussalam Adalah menjadi kesalahan di bawah Bab 4 dari Akta Anjing (Penggal 60), jika pemilik anjing gagal mendaftarkan anjing-anjing, mereka boleh dijatuhkan hukuman denda $250 atau 14 hari penjara bagi kesalahan pertama, manakala bagi kesalahan kedua dan berikutnya boleh dijatuhi hukuman denda $500 atau sebulan penjara.

    KHEDN ingin mengingatkan pemilik anjing supaya anjing yang telah didaftarkan perlulah dikalungkan lencana pada leher anjing pada setiap masa.

    Bagi pemilik berdaftar yang mempunyai lencana anjing tetapi tidak dikalungkan pada anjing tersebut juga akan diambil tindakan dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman denda $250 atau sebulan penjara di bawah Akta Anjing (Penggal 60) Bab 5 (1).

    Pemilik anjing peliharaan adalah bertanggungjawab sepenuhnya ke atas anjing-anjing peliharaan mereka untuk sentiasa berada di dalam kawasan rumah sahaja sama ada di sangkar atau ditambat.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...