Seramik kenang-kenangan Jubli Platinum Elizabeth II

STOKE-ON-TRENT, UNITED KINGDOM – Dalam bengkel seramiknya, Simon Willis dengan bangga mempamerkan set pinggan mangkuk yang telah diciptanya untuk Jubli Platinum Ratu Elizabeth II, dengan impian ia akan berakhir dalam koleksi peribadi raja permaisuri itu.

“Ia merupakan satu acara yang tidak sekali-kali akan berlaku lagi, kami tidak akan berpeluang melihat seorang lagi permaisuri atau raja di atas takhta selama 70 tahun. Maka ia merupakan satu peristiwa yang besar,” beritahunya kepada AFP.

Willis ialah pemilik Goviers di Stoke-on-Trent, tengah England, yang mempunyai kepakaran dalam menghasilkan seramik kenang-kenangan lebih daripada 30 tahun lamanya.

Elizabeth menjadi permaisuri pada 6 Februari 1952, dan Jun akan menjadi tumpuan utama perayaan awam untuk meraikan pemerintahannya selama 70 tahun.

Untuk meraikan peristiwa bersejarah tersebut, Goviers telah menjual pelbagai jenis cawan dan pinggan ‘Jubli Platinum’ dengan corak bunga tradisional Inggeris sejak Julai tahun lalu.

Simon Willis memeriksa Jag Jubli Platinum Ratu Elizabeth II, sebagai sebahagian daripada koleksi Kenang-Kenangan Diraja, di Stoke-on-Trent, tengah England. – AFP
Claire Wright melukis cat emas dengan tangan ketika dia menghasilkan bikar kenang-kenangan Jubli Platinum untuk Goviers di Stoke-on-Trent, England. – AFP
Gale Oakley menggunakan gambar lekat alih ketika mengusahakan Bikar Kenang-Kenangan Jubli Platinum sebagai koleksi untuk Goviers. – AFP
Graham Lockett memeriksa pencontoh yang digunakan untuk menghasilkan gambar lekat alih digunakan dalam tembikar Goviers di kilangnya di Stoke-on-Trent. – AFP

Kerja-kerja yang terlibat memerlukan ketelitian, dengan setiap corak berwarna dalam motif dicetak secara individu pada gambar lekat alih dan dilakukan dengan tangan pada cawan dan pinggan porselin.

Seorang tukang seramik memberus sentuhan emas terakhir kepada set berkenaan, yang seterusnya akan dibakar sebelum dijual.

Daripada cawan kasar kepada calitan cat terakhir, segala-gala proses dilakukan di Stoke-on-Trent, yang juga dikenali sebagai The Potteries.

Bandar itu telah menjadi terkenal kerana barangan tembikarnya selama berabad-abad, mengambil kesempatan ke atas tanah liat tempatan untuk pembuatan seramik serta deposit arang untuk membakar produk berkenaan.

Ia menjadi pusat pengeluaran tembikar dunia pada kira-kira 1800, berkembang makmur berdekad-dekad lamanya sebelum mengalami kemelesetan mendadak, dengan kilang ditutup dan dipindah ke Asia.

“Banyak pengeluaran telah berpindah ke luar negara disebabkan kos pengeluaran,” kata pemilik kilang berusia 58 tahun itu.

Namun kilang berkenaan tidak menghasilkan set pinggan mangkuk tembikar jubli kerana ‘mereka melihat pasaran tidak cukup besar untuk barangan tersebut,’ tambahnya.

Willis menceburi industri seramik selepas belajar ekonomi, mengkhusus dalam industri kereta.

Memandangkan kebanyakan pelanggannya terdiri daripada pengumpul dari Britain, dia tidak teragak-agak untuk menghasilkan set barangan jubli baharu.

“Mereka mungkin telah memiliki pinggan untuk meraikan perkahwinan permaisuri, atau upacara kemahkotaan, di antara acara yang diraikan,” kata Willis, merujuk kepada pelanggannya.

“Set barangan hanya merupakan satu tradisi, saya rasa, yang amat bersifat keinggerisan.”

Dijual di antara £45 untuk cawan kecil dan £175 untuk pinggan besar, pinggan mangkuk Goviers tidak dirancang digunakan sebagai perkakas dapur semata-mata.

Sebaliknya ia bertujuan dipamerkan bersama seramik kenang-kenangan lain.

Industri seramik Britain sentiasa memberikan sokongan kepada sambutan perayaan berkenaan, tidak kira besar atau pun kecil,” ujar Willis.

“Perkara penting mengenai seramik adalah, apa sahaja yang dihasilkan hari ini… sekiranya ia dijaga dengan baik masih akan kekal dalam keadaan baik apabila anak lelaki saya sudah meninggal dunia

“Kami menghasilkan sesuatu yang sentiasa ada nilai intrinsik,” tambahnya.

Cenderahati yang dikhaskan untuk permaisuri popular, yang akan menyambut ulang tahun ke-96 pada bulan depan, dan keluarga diraja pada umumnya secara lazimnya akan dikeluarkan untuk menandakan setiap kelahiran, perkahwinan dan perayaan.

Cenderahati berkenaan menjana pendapatan berjumlah £200 juta semasa Jubli Intan pada 2012, dengan lima juta cawan dan seramik kenang-kenangan dijual, menurut Pusat Perniagaan Runcit UK.

Perayaan awam selama empat hari telah dirancang pada awal Jun, termasuk perarakan tentera, konsert besar dan ribuan parti jalanan di seluruh negara.

Meskipun Brexit dan pandemik, pelancong dijangka datang beramai-ramai.

Goviers dijangka hanya menjual beberapa ratus cawan dan pinggan, tetapi pemiliknya berharap pinggan mangkuk mejanya akan menjadi koleksi kenangan.

“Adalah istimewa untuk melakukan sesuatu yang mempunyai kaitan dengan acara diraja, acara yang besar untuk majlis yang telah pun disambut di seluruh dunia,” kata Willis.

Dia amat berminat untuk memberikan tumpuan kepada seorang pelanggan berpotensi.

“Kami tahu bahawa permaisuri jelasnya mempunyai koleksi seramik yang besar. Namun beberapa set cenderahati yang telah kami cipta, mungkin menjadi milik peribadi Baginda Permaisuri,” tambahnya. – AFP