Serang guru: Rayuan adik-beradik ditolak

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 FEB – Mahkamah Tinggi hari ini menolak rayuan terhadap hukuman dua orang adik-beradik yang terlibat dalam serangan ke atas seorang guru sekolah menengah pada tahun 2017.

Mohammad Yusirwan bin Yussof dan Mohammad Yadiy Yusranshah bin Yussof melantik peguam Sheikh Noordin Sheikh Mohammad dari Messrs Sheikh Noordin Mohammad & Associates, memohon rayuan terhadap hukuman penjara 24 minggu yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret kepada mereka.

Mereka mendakwa mempunyai faktor pengurangan dalam kes tersebut dan faktor pengurangan yang memerlukan denda atau perintah percubaan dan khidmat masyarakat, bukannya hukuman penahanan penjara.

Peguam Sheikh Noordin mengemukakan bahawa kesalahan itu tidak dirancang sebelumnya, dan guru tersebut bersikap agak ‘confrontational’, di mana pukulan dan tendangan daripada kedua pemohon terjadi semasa kekecohan dan itu bukan serangan berterusan.

Peguam juga menekan-kan bahawa anak guamnya mempunyai rekod yang bersih dan Mohammad Yusirwan telah menunjukkan tahap disiplin yang baik dalam ketenteraan dan tidak pernah dituduh melakukan kesalahan ketenteraan.

Ketua Hakim Negara, Dato Seri Paduka Steven Chong mengatakan bahawa majistret adalah benar dalam memandang serius kesalahan tersebut dan bersetuju bahawa guru melaksanakan tugasnya layak mendapat perlindungan undang-undang sepenuhnya dari penyalahgunaan fizikal atau lisan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hafizah Ahmad mewaki-li pendakwa raya sebagai responden.