Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Serangan belalang ancam petani

    ISLAMABAD, 11 MEI – Agensi makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa serangan belalang yang meluas di beberapa wilayah Afghanistan adalah kebimbangan besar dan mungkin boleh memusnahkan satu perempat daripada tanaman gandum.

    Satu kenyataan daripada Pertubuhan Makanan dan Pertanian kelmarin berkata bahawa sekurang-kurangnya lapan daripada 34 wilayah di Afghanistan telah terjejas oleh Belalang Maghribi, disenaraikan antara perosak tumbuhan yang paling merosakkan ekonomi di dunia.

    “Laporan mengenai wabak Belalang Maghribi di Afghanistan adalah kebimbangan yang besar,” kata Richard Trenchard, wakil FAO di Afghanistan. “Ia mewakili ancaman besar kepada petani, masyarakat dan seluruh negara.”

    Beliau menambah bahawa dua wabak besar terakhir, 20 dan 40 tahun yang lalu, masing-masing mengorbankan Afghanistan sebanyak 8 peratus dan 25 peratus daripada pengeluaran gandum tahunannya.

    Jurucakap kementerian pertanian, pengairan dan ternakan Afghanistan yang dilantik Taliban berkata pihak berkuasa menyedari bahayanya.

    Gambar fail pada 9 Februari 2021 menunjukkan sekumpulan lalat belalang padang pasir selepas sebuah pesawat menyembur racun perosak di Meru, Kenya. – AFP

    Beribu-ribu orang di wilayah yang terjejas telah berusaha untuk menghapuskan belalang sebelum haiwan itu di peringkat dewasa, apabila ia berkerumun dan terbang ke tanah ladang, merosakkan tanaman dengan ketara.

    Menurut FAO, wabak penuh tahun ini boleh mengakibatkan kerugian tanaman sehingga satu perempat daripada jumlah penuaian gandum, bermakna antara AS$280 juta dan AS$480 juta kerugian ekonomi.

    Badan PBB itu meminta pembiayaan segera untuk langkah memerangi belalang, serta tinjauan di lapangan untuk memantau dan memetakan tapak penetasan belalang.

    Serangan itu berlaku pada masa Afghanistan mengalami kemarau yang ketiga berturut-turut, memberikan lebih banyak tekanan ekonomi kepada negara yang kekurangan wang itu dan pemerintah Talibannya. – AP

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...