Thursday, February 13, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Serangan berprofil tinggi di selatan Thai petanda kemampuan militan meningkat

    BANGKOK – Genap seminggu yang lalu, sebahagian besar kawasan di selatan Thailand terpaksa bergelap apabila sekumpulan lelaki tidak dikenali melakukan sabotaj dengan memusnahkan infrastruktur elektrik.

    Beberapa hari sebelum itu, beberapa lelaki bersenjata melancarkan serangan nekad ke atas balai polis di Ranget, Narathiwat dan kem kecil keselamatan bersama polis-tentera di Krong Pinang, Yala.

    Penganalisis mengenai konflik selatan Thailand dan pasukan keselamatan menyifatkan serangan yang dirancang dengan rapi kebelakangan ini, mempamerkan keupayaan militan yang semakin meningkat dan melancarkan serangan yang penuh risiko dan kompleks ke atas sasaran yang ketara dan tidak ketara.

    “Mesej daripada semua serangan baru-baru ini menunjukkan keupayaan mereka (militan) meningkat untuk melaksanakan misi dalam skala besar dan kompleks,” kata seorang penganalisis dari Prince of Songkla University di Pattani, Dr Srisompob Jitpiromsiri, kepada Bernama baru-baru ini.

    Katanya kumpulan militan, telah mempamerkan kemampuan untuk melaksanakan misi berbeza daripada menyerang sasaran tidak ketara seperti memusnahkan tiang elektrik kepada menyerang hendap balai polis yang dikawal rapi dan kem kecil keselamatan.

    Penganalisis mengenai konflik selatan Thailand dan pasukan keselamatan menyifatkan serangan yang dirancang dengan rapi kebelakangan ini, mempamerkan keupayaan militan yang semakin meningkat dan melancarkan serangan yang penuh risiko dan kompleks ke atas sasaran yang ketara dan tidak ketara. – Bernama
    Penganalisis mengenai konflik selatan Thailand dan pasukan keselamatan menyifatkan serangan yang dirancang dengan rapi kebelakangan ini, mempamerkan keupayaan militan yang semakin meningkat dan melancarkan serangan yang penuh risiko dan kompleks ke atas sasaran yang ketara dan tidak ketara. – Bernama
    Pencawang elektrik musnah apabila sekumpulan lelaki tidak dikenali melakukan sabotaj dengan memusnahkan infrastruktur elektrik di empat wilayah selatan Thailand. – Bernama
    Pencawang elektrik musnah apabila sekumpulan lelaki tidak dikenali melakukan sabotaj dengan memusnahkan infrastruktur elektrik di empat wilayah selatan Thailand. – Bernama

    “Keupayaan mereka menggunakan taktik berbeza dalam operasi (berbeza) telah meningkat,” kata penganalisis itu yang juga seorang daripada pengasas ‘Deep South Watch’, sebuah badan bukan kerajaan yang memantau konflik itu.

    Dalam serangan ke atas infrastruktur elektrik itu, kumpulan itu menurut seorang pegawai polis telah meletupkan bom buatan sendiri dalam tempoh sejam bermula tengah malam 7 April, memusnahkan 52 tiang elektrik di empat wilayah di selatan Thailand.

    Serangan ke atas infrastruktur elektrik bukan sahaja menyulitkan penduduk namun menyebabkan kerugian jutaan Baht dalam bentuk kerosakan harta benda.

    Menurut sumber keselamatan, militan terbabit memasang 114 bom buatan sendiri ke atas tiang-tiang elektrik sehari sebelum insiden itu namun hanya 76 sahaja dapat diletupkan.

    Dalam serangan di Krong Pinang pada awal pagi 3 April, sekumpulan militan menyerang kem kecil yang dikawal rapi menyebabkan pertempuran sengit dengan kedua-dua pihak berbalas tembakan selama 10 minit.

    Dua belas pegawai polis cedera dalam serangan itu, menurut Ketua Polis Yala Mejar Jeneral Kerisswada Keawjandi, yang juga berkata kumpulan militan itu menabur paku dan bom paip di sekitar kem kecil itu untuk melenggah-lengahkan bantuan daripada pihak berkuasa.

    Tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab dalam serangan berprofil tinggi, namun penganalisis dan pihak tentera meletakkan kesalahan itu ke atas Barisan Revolusi Nasional (BRN), kumpulan yang berpengaruh dan berkemampuan di selatan Thailand.

    BRN, yang mengekalkan kehadirannya secara tidak jelas, jarang mengeluarkan kenyataan media dan unit tenteranya yang digeruni, Runda Kumpulan Kecil (RKK) dipersalahkan oleh begitu ramai pihak atas kebanyakan serangan bersenjata di wilayah-wilayah ini.

    Sementara itu, Panglima Tentera Darat Thailand Jeneral Chalermchai Sittisart menolak andaian serangan di selatan Thailand mempunyai kaitan dengan pengisytiharan perlembagaan baharu.

    Serangan itu bertujuan untuk mempamerkan kemampuan kumpulan militan, kata panglima itu sambil menambah serangan itu tidak akan mengubah keadaan dan kerajaan akan terus dengan agendanya,” katanya seperti yang dilaporkan media tempatan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda