YANGON, MYANMAR, 4 SEPT – Serangan bom di pekarangan kerajaan di hab sempadan Myanmar, Myawady telah membunuh lima pegawai kerajaan dan keselamatan serta mencederakan 11 anggota polis, sumber-sumber memberitahu AFP hari ini.
Pekan di sempadan dengan Thailand itu telah menyaksikan pertempuran sekali-sekala antara tentera dan pejuang anti-junta sejak rampasan kuasa pada 2021 menjerumuskan negara itu ke dalam kekacauan.
Awal petang kelmarin, dua bom jatuh ke dalam kawasan yang mengandungi pejabat polis
daerah dan pejabat pentadbiran am, kata sumber tentera kepada AFP.
Ketika para pegawai mengambil “langkah-langkah keselamatan” selepas letupan, dua lagi bom dijatuhkan, membunuh lima dan mencederakan 11, kata mereka, meminta nama dirahsiakan kerana mereka tidak diberi kuasa untuk bercakap dengan media.
Mangsa yang maut termasuk seorang pegawai tentera, dua pegawai polis dan dua pegawai dari jabatan pentadbiran, kata mereka.
Seramai 11 pegawai polis “rendah dan kanan” cedera, lima kritikal, tambah mereka. – AFP
