Serangan bom di perkarangan balai polis Medan

MEDAN, INDONESIA, 13 NOV – Seorang pengebom nekad meletupkan dirinya dekat sebuah balai polis sibuk di bandar ketiga terbesar Indonesia hari ini, mencederakan kira-kira enam orang, ketika tindakan keras cegah keganasan dan amaran mengenai kemungkinan serangan ke atas polis dan tempat ibadat.

Penyerang berjaya melepasi pos kawalan dan memasuki perkarangan balai polis bandar Medan, yang dipenuhi dengan orang yang beratur untuk mendapatkan pelbagai sijil polis, kata jurucakap Polis Negara Muhammad Iqbal.

Iqbal berkata penyerang meletupkan bahan letupan dan mati berhampiran tempat letak kereta selepas dihalang oleh pegawai lain, mencedera sekurang-kurangnya empat polis dan dua orang awam. Mereka dikejarkan ke hospital polis berhampiran, kebanyakan mereka dengan luka ringan.

Gambar televisyen menunjukkan orang ramai berlari keluar dari balai polis dan asap hitam berkepul-kepul keluar dari kereta yang terbakar. Saksi berkata mayat penyerang yang hancur dibawa untuk pengenalpastian selanjutnya tatkala skuad antibom mengawal lokasi itu.

Seorang lagi jurucakap polis, Dedi Prasetyo, berkata prosedur keselamatan telah dilakukan untuk menerima pelawat ke balai polis, namun penyerang tidak menghiraukan polis apabila mereka cuba memeriksa latar belakangnya dan cuba sampai ke kantin berdekatan di dalam kompleks balai apabila bahan letupannya diletupkan sehingga 50 meter dari lokasi pos.

Prasetyo berkata polis masih menyiasat serangan, yang berlaku tatkala anggota cegah keganasan berusaha menghapus militan Islam susulan serangan pada bulan lalu oleh pasangan militan bersenjatakan pisau yang mencedera seorang menteri keselamatan Indonesia.

Lebih daripada 40 suspek telah ditahan oleh skuad cegah keganasan, dikenali sebagai Densus 88, di beberapa wilayah, termasuk mereka yang ditahan semalam, kata Prasetyo. Operasi itu menyusuli satu maklumat mengenai kemungkinan serangan ke atas polis dan tempat ibadat di beberapa kawasan. – AP

Anggota polis forensik Indonesia memeriksa lokasi pengeboman nekad dekat ibu pejabat mereka di Medan, Sumatera Utara, Indonesia pada 13 November. – AFP