BANGKOK, 9 Okt – Seorang renjer maut manakala seorang lagi parah dalam satu kejadian letupan di Narathiwat Thailand kelmarin dipercayai dilakukan pemberontak, lapor agensi berita China Xinhua.
Mangsa yang terbunuh dikenali Anan Wichienthong berusia 25 tahun sementara yang cedera Yutthana Thongyen kini dirawat di sebuah hospital tempatan.
Mengikut laporan Voice TV, kejadian berlaku ketika pasukan renjer bermotosikal itu sedang membuat rondaan sebelum diserang kumpulan pemberontak.
Narathiwat, Pattani dan Yala, tiga wilayah paling selatan di Thailand, sering menyaksikan berlakunya kejadian serangan dan letupan. – Bernama