Serangan di Kabul ragut lebih 27 jiwa

KABUL, 6 MAC – Sekurang-kurangnya 27 orang terbunuh dalam serangan ke atas perhimpunan politik di Kabul hari ini, kata para pegawai, dalam serangan paling dahsyat di Afghanistan sejak Amerika Syarikat (AS) menandatangani perjanjian penarikan balik dengan Taliban.

Taliban segera menafikan bertanggungjawab terhadap serangan itu, yang berlaku pada upacara memperingati kematian Abdul Ali Mazari – seorang ahli politik dari kumpulan etnik Hazara, yang kebanyakannya adalah Syiah.

Kumpulan Islam yang mendakwa serangan terhadap perhimpunan yang sama tahun lalu menyaksikan serangan mortar membunuh sekurang-kurangnya 27 orang. Jurucakap kementerian dalam negeri, Nasrat Rahimi berkata serangan tembakan meletus dari tapak pembinaan berhampiran perhimpunan yang diadakan di barat bandar, yang kebanyakannya penduduk Syiah.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Nasrat Rahimi berkata wanita dan kanak-kanak adalah antara yang terkorban dengan tambahan 29 orang cedera, sambil menambah bahawa ‘unit pasukan khas menjalankan operasi serangan terhadap penyerang.’

“Tidak lama selepas serangan itu, pasukan polis dan pasukan polis khas bergegas ke tempat kejadian,” kata Rahimi kepada sebuah stesen berita tempatan, sambil menyatakan bahawa tembakan rambang sedang berlangsung ketika waktu itu.

Anggota keselamatan Afghanistan ketika mengawal tapak serangan tembakan selepas perhimpunan memperingati kematian pemimpin Abdul Ali Mazari di Kabul, kelmarin. – AFP

“Angka bilangan ini akan berubah,” katanya.

Nizamuddin Jalil, seorang pegawai kementerian kesihatan, memberikan angka yang sedikit lebih tinggi, mengatakan 29 orang terbunuh dan 30 yang lain cedera.

Perhimpunan itu dihadiri oleh kebanyakkan elit politik negara, termasuk ketua eksekutif Afghanistan Abdullah Abdullah.

Kementerian Dalam Negeri kemudiannya mengesahkan kepada pemberita bahawa “Semua pegawai tinggi selamat dipindahkan dari tempat kejadian.”

Insiden itu berlaku kurang dari seminggu selepas AS dan Taliban menandatangani perjanjian yang akan membuka jalan bagi penarikan pasukan asing sepenuhnya dalam tempoh 14 bulan. – AFP