Serangan fizikal: Tertuduh dipenjara lebih tiga tahun

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JULAI – Mahkamah Perantaraan hari ini menjatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun dan empat bulan berserta tiga kali sebatan ke atas seorang lelaki tempatan atas pertuduhan melakukan serangan serius ke atas seorang remaja lelaki.

Hakim Pengiran Hajah Norismayanti binti Pengiran Haji Ismail ketika menjatuhkan hukuman berkata hukuman tertuduh bertambah berat kerana serangan yang dilakukan adalah tanpa provokasi.

Selain itu, mahkamah juga mengambil maklum bahawa tertuduh mengambil masa dan merancang dengan teliti pecah masuk ke rumah atau bilik mangsa pada awal pagi dengan membuka tingkap mangsa menggunakan alat pengujian pin elektrik.

Timbalan Pendakwa Raya, Raihan Nabilah binti Haji Ahmad Ghazali mendedahkan kepada mahkamah bahawa Mohammad Abdul Mutalip bin Minudin, 34, melakukan kesalahan itu terhadap mangsa berusia 16 tahun, dengan menikam perutnya sebanyak dua kali dan dua kali lagi di bahagian bawah punggung kiri menggunakan alat pengujian pin elektrik, yang berkemungkinan menyebabkan kematian.

Kejadian didakwa berlaku kira-kira pukul 5 pagi pada 20 Mei 2020 di sebuah rumah di Kampung Kupang.

Tertuduh dan mangsa saling bertemu dan mengenali satu sama yang lain melalui rakan-rakan mereka di mana mangsa juga pernah tinggal bersama tertuduh selama setahun dan keluar dari sana pada 4 Mac 2020 berikutan pertengkaran. Mangsa kemudiannya berpindah dan tinggal bersama saudaranya.

Pada tengah malam 20 Mei, tertuduh menuju ke Kampung Kupang dan menunggu tidak jauh dari tempat tinggal mangsa dan melihat mangsa dihantar balik oleh seorang rakannya pada pukul 1:45 pagi. Tertuduh kemudiannya menunggu sehingga pukul 5 pagi, menyangka bahawa mangsa telah tidur dan menyelinap masuk ke dalam rumah.

Tertuduh dengan bersenjatakan alat pengujian pin elektrik kemudiannya membuka tingkap ke bilik tidur mangsa. Tertuduh mengambil telefon mangsa yang berada di tepi katilnya yang membuatkan mangsa terjaga. Tertuduh kemudian menyerangnya dengan alat pengujian pin elektrik sebanyak empat kali.

Mangsa yang berteriak untuk meminta bantuan menyebabkan tertuduh beredar dari bilik tersebut. Mangsa kemudiannya dihantar ke hospital dan laporan polis telah dibuat yang menyebabkan penangkapan tertuduh.