MILAN, 19 Sept – Ledakan jaringan voli Mauro Icardi mencetuskan kebangkitan lewat Inter Milan tatkala skuad Itali itu menewaskan Tottenham Hotspurs 2-1, kemunculan pertama mereka setelah tidak beraksi selama tujuh tahun di Liga Juara-juara, semalam.
Christian Eriksen meledakkan gol pendahuluan Spurs pada minit ke-53 di San Siro dan pasukan pelawat dilihat selesa hampir sepanjang perlawanan separuh masa kedua.
Namun begitu, penyerang Argentina, Icardi melakukan voli pada minit ke-86 untuk menyamakan kedudukan, sebelum Matias Vecino meraih kelebihan di atas kesilapan pertahanan Spurs untuk menanduk masuk gol kemenangan dramatik pada masa kecederaan.
“Ia adalah saat yang menakjubkan, kami berjaya melakukan apa yang perlu kami lakukan,” kata Icardi selepas menjaringkan gol sulungnya musim ini dalam penampilan pertama Liga Juara-juara.
Inter Milan – yang menang trofi pada 2010 di bawah kendalian Jose Mourinho, kini kembali ke kejohanan elit Eropah buat pertama kali sejak 2011-2012, manakala Spurs musim yang lalu, disingkirkan oleh Juventus pada pusingan kalah mati.
“Ini yang penyokong mahu saksikan. Icardi menjaringkan gol menakjubkan. Pasukan ini mempersembahkan aksi hebat dan berusaha keras untuk meraih kemenangan,” kata pengendali Inter, Luciano Spalletti.
Kemenangan itu membawa Inter menduduki tangga kedua Kumpulan B di belakang Barcelona berdasarkan perbezaan gol selepas kelab gergasi Catalan menumpaskan PSV Eindhoven 4-0, dengan Lionel Messi menghasilkan hatrik.
Kemenangan itu telah menceriakan 66,000 penyokong di San Siro yang pada mulanya bimbang terhadap prestasi hambar Inter dalam kempen Serie A menuju ke saingan Eropah. – AFP