Thursday, December 5, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Serangan Israel ragut 21 nyawa di selatan Lubnan

    BEIRUT, 28 OKT – Kementerian kesihatan Lubnan kelmarin menyatakan bahawa serangan Israel membunuh kira-kira 21 orang di seluruh selatan Lubnan.

    Sembilan orang terbunuh dan 38 cedera dalam serangan ke atas Haret Saida, berhampiran bandar pelabuhan Sidon, menurut kementerian itu. Kira-kira tujuh yang lain termasuk seorang jururawat dan tiga penyelamat terbunuh di perkampungan selatan Ain Baal dan lima di Burj al-Shemali.

    Serangan ke atas Haret Saida, kira-kira 60 kilometer dari sempadan Israel, memusnahkan sepenuhnya tingkat atas sebuah bangunan tiga tingkat, menurut seorang wartawan AFP.

    Bangunan berdekatan turut mengalami kerosakan. Tentera Lubnan telah menyekat akses ke kawasan itu, yang kini sesak dengan orang ramai yang melarikan diri dari kawasan lain di selatan Lubnan sejak Israel melancarkan serangan terhadap pejuang Hizbullah pada September.

    Wartawan AFP melaporkan bahawa tiada amaran untuk mengosongkan kawasan itu sebelum serangan Israel.

    Di Ain Baal, mangsa yang terbunuh termasuk tiga pekerja kecemasan yang bekerja di sebuah pusat yang dikendalikan oleh Persatuan Al-Riossala, sebuah badan amal yang berkaitan dengan parti politik Syiah, Amal, yang merupakan sekutu pejuang Hizbullah.

    Seorang jururawat dan tiga orang lain yang kebetulan berada di kawasan itu juga terbunuh, menurut kenyataan daripada kementerian kesihatan.

    Serangan dron maut Israel di Burj al-Shemali melanda berhampiran sekolah yang dikendalikan oleh agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk pelarian Palestin, menurut ketua perbandaran, yang dipetik oleh agensi berita ANI.

    Jurucakap UNRWA menyatakan bahawa sekolah itu tidak terkena serangan secara langsung dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.– AFP

    Pasukan penyelamat mencari mangsa di tapak serangan udara Israel yang menyasarkan bandar Tire di selatan Lubnan pada 28 Oktober. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda