Serangan Istanbul bayangi sambutan Tahun Baru

LOS ANGELES, 1 Jan – Serangan dahsyat yang membunuh 39 orang yang berpesta di sebuah kelab malam Istanbul, Turki membayangi keraian Tahun Baru yang dihadiri berjuta-juta orang di seluruh dunia untuk menyambut kedatangan tahun 2017.

Pembunuhan beramai-ramai dilakukan oleh seorang lelaki bersenjata dilaporkan berpakaian Santa Claus, berlaku di sebalik kawalan keselamatan dipertingkatkan di seluruh bandar-bandar besar di seluruh dunia, di tengah-tengah kebimbangan keraian itu bakal menjadi sasaran pengganas.

Ramai daripada mangsa serangan di kelab malam Reina, salah sebuah kelab malam eksklusif Istanbul, merupakan warga asing. “Penyerang—dalam cara paling kejam dan tiada belas ihsan—menyasarkan orang yang tidak bersalah yang hanya datang ke sini untuk meraikan Tahun Baru dan berseronok,” kata gabenor Istanbul, Vasip Sahin.

Di New York, di mana orang ramai dianggarkan berjumlah hampir 1 juta, bersesak ke Times Square, di mana kawalan keselamatan amat ketat.

Apabila bebola tradisional diturunkan ke simpang ikonik Big Apple, mereka yang berpesta menjerit kegembiraan dan pasangan berkucup ketika bunga api menyalakan lelangit malam dan suara Frank Sinatra menyanyikan lagu ‘New York, New York’ bergema.

2017 muncul semasa pertunjukan bunga api di Arc de Triomphe pada sambutan Tahun Baru di Champ Elysees, Paris, 1 Januari. Kawalan keselamatan diperketat di seluruh dunia sempena pesta tahun baru, namun kejadian tembakan beramai-ramai di Turki menyuramkan sambutan. – AP
2017 muncul semasa pertunjukan bunga api di Arc de Triomphe pada sambutan Tahun Baru di Champ Elysees, Paris, 1 Januari. Kawalan keselamatan diperketat di seluruh dunia sempena pesta tahun baru, namun kejadian tembakan beramai-ramai di Turki menyuramkan sambutan. – AP

Di barat, berpuluh-puluh ribu orang berhimpun di Grand Park di Los Angeles bagi menikmati konsert muzik secara langsung termasuklah hiburan arca boleh kembung dan pertunjukan cahaya 3-D.

Presiden baru, Donald Trump mengucapkan selamat tahun baru kepada rakyat Amerika. “Mengalu-alukan kedatangan 2017 yang menarik dan makmur ketika kita bersama-sama ke arah #MAGA,” tweet Trump pada tengah malam, merujuk kepada slogan kempennya ‘Make America Great Again.’

Sydney memulakan keraian dihadiri kira-kira 1.5 juta orang dengan persembahan bunga api menarik yang menerangi pelabuhannya. Manakala khalayak ramai di Hong Kong juga berhimpun di dermaga untuk menyaksikan pertunjukan bunga api di Victoria Harbour, manakala di Tokyo, orang ramai berhimpun di di jalan-jalan untuk melepaskan belon-belon ke udara.

Manakala sambutan di Eropah menyaksikan lelangit malam di Red Square Moscow dilimpahi cahaya bunga api merah menyala.

Dan sekitar setengah juta orang mengerumuni Champ-Elysees, Paris yang terkenal di mana Arc de Triomphe dilimpahi cahaya berwarna-warni menjelang kiraan detik 12 malam 2017 dan perkataan selamat datang dalam berbagai bahasa dipamerkan.

Di bawah kawalan mata sehingga 2,000 orang anggota polis, sekitar dua juta orang menyaksikan pertunjukan bunga api di pantai Copacabana, Rio de Janeiro yang menakjubkan, meskipun singkat akibat krisis ekonomi teruk tahun ini.

Malam tadi merupakan yang terakhir dalam setahun kejutan politik, daripada undian Britain keluar Kesatuan Eropah sehinggalah pemilihan Trump di Amerika Syarikat.

Ia juga setahun kematian selebriti daripada David Bowie kepada Prince dan Muhammad Ali. 2016 juga merupakan tahun pertumpahan darah dan penderitaan yang menyaksikan perang di Syria, krisis penghijrah di Eropah dan serangan pengganas yang banyak, mendominasi tajuk utama berita. – AFP