DAMSYIK, SYRIA, 20 JUN — Serangan ke atas bas awam di utara Syria kelmarin telah membunuh 13 orang, termasuk 11 orang anggota tentera dan mencederakan tiga lagi tentera, lapor media kerajaan Syria, memetik seorang pegawai tentera yang tidak dinamakan.
Menurut agensi berita kerajaan, SANA, serangan tersebut berlaku di wilayah Raqqa, yang pernah dikawal oleh kumpulan ekstremis Islamic State (IS). Laporan tersebut tidak menyatakan sama ada bas itu diserang hendap dan diserang dengan tembakan mesingan, atau sama ada ia terkena peluru berpandu atau bom tepi jalan.
Tiada pengakuan bertanggungjawab segera dibuat tetapi serangan berkenaan mempunyai semua ciri militan IS yang telah melakukan serangan serupa sejak beberapa bulan lalu, menyebabkan berpuluh-puluh terbunuh atau cedera.
Pegawai tentera yang tidak dinamakan tersebut berkata, bas itu sedang dalam perjalanan ke wilayah tengah Homs apabila ‘serangan pengganas’ berlaku pada awal pagi, membunuh 11 orang anggota tentera dan dua orang awam serta mencederakan tiga lagi tentera.
Dalam pada itu juga, pihak berkuasa Syria kerap menyalahkan serangan sedemikian ke atas kumpulan IS. Sementara itu, kumpulan perisik militan dikatakan telah aktif di timur, utara dan tengah Syria. – AP