Monday, December 5, 2022
22.3 C
Brunei

-

Serangan laser ancam keselamatan penerbangan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OKT – Jabatan Penerbangan Awam melalui Mandatory Occurence Report (MOR), telah mencatatkan enam laporan serangan laser (laser attack) pada 2020 dan satu kejadian pada 2021 oleh pengendali pesawat.

Daripada laporan berkenaan, pancaran laser telah sengaja ditujukan ke pesawat yang dilaporkan dan dianggap sebagai ancaman serta menyebabkan gangguan dan hilang penglihatan sementara kepada kru-kru penerbangan.

“Ini sangat berbahaya terutamanya semasa saat penerbangan yang kritikal seperti take-off dan melakukan pendaratan di mana serangan laser ini boleh menyebabkan take-off atau pendaratan yang tidak selamat dan seterusnya boleh menyebabkan risiko kesihatan jangka panjang bagi para juruterbang.”

Perkara itu dinyatakan oleh Pemangku Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Mohamad Azlan bin Haji Mohammad Junaidi semasa Sidang Media mengenai Bahayanya Aktiviti Serangan Laser (Laser Attack) yang berlangsung di Bangunan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, hari ini.

Beliau menyatakan bahayanya aktiviti serangan laser khususnya kepada pesawat-pesawat yang membuat penerbangan rendah di ruang udara kedaulatan Negara Brunei Darussalam.

Haji Mohamad Azlan (kiri) memberikan penerangan semasa Sidang Media Mengenai Bahayanya Aktiviti Serangan Laser yang berlangsung di Bangunan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, kelmarin.

Dalam hubungan itu, beliau menekankan bahawa Jabatan Penerbangan Awam ingin memaklumkan kepada orang ramai mengenai larangan serangan laser di bawah Seksyen 21 Perintah Penerbangan Awam 2006 dan bahaya penggunaan laser yang dihalakan pancaran ke pesawat yang beroperasi sama ada di landasan atau semasa penerbangan yang kini menjadi perhatian dan isu utama dalam sektor penerbangan.

Beliau menerangkan lanjut bahawa sinaran pancaran laser adalah sangat rendah pada jarak yang jauh, akan tetapi, sinaran pancaran laser boleh memenuhi seluruh ruang kokpit walaupun dari jarak ribuan kaki dan orang ramai tidak menyedari potensi bahaya sinaran pancaran laser yang dihalakan ke pesawat semasa penerbangan.

Serangan laser adalah ancaman serius bagi keselamatan dan membahayakan nyawa para penumpang dan kru penerbangan yang berada di dalam pesawat kapal terbang dan helikopter.

“Sinaran pancaran laser mungkin kelihatan kecil dan tidak berbahaya, namun, ia boleh menyebabkan gangguan bagi penerbangan jarak jauh, operasi-operasi kritikal dan yang lebih buruk lagi ia boleh mengakibatkan kemalangan dan insiden yang tidak diingini.”

Haji Mohamad Azlan berkata lagi, “Pancaran ini membuatkan juruterbang hilang fokus semasa berada di dalam kokpit, mengakibatkan gangguan dan kehilangan sebahagian fungsi penglihatan yang boleh menyebabkan kerosakan mata yang kekal.”

Beliau menyatakan bahawa walaupun jumlah kes serangan laser yang dilaporkan tidak signifikan akan tetapi ia mengancam keselamatan penerbangan.

“Pancaran laser tidak hanya berbahaya kepada operasi navigasi udara tetapi juga kepada orang ramai kerana ia tidak sesuai digunakan untuk tujuan hiburan. Tindakan memancarkan laser boleh dikenakan hukuman yang berat menurut undang-undang yang sedia ada,” tegas beliau.

Haji Mohamad Azlan menyatakan bahawa prosedur operasi standard (SOP) bagi melaporkan sebarang kejadian serangan laser telah diusahakan dengan kerjasama Pasukan Polis Diraja Brunei dan agensi-agensi yang berkepentingan.

Jabatan Penerbangan Awam ingin mengingatkan orang ramai untuk mematuhi Perintah Penerbangan Awam dan undang-undang lain yang berkuat kuasa pada masa ini bagi keselamatan dan kesejahteraan semua.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

ASEAN: Tiga tindakan promosi pembangunan bandar mampan

FUKUSHIMA, 4 DIS – Mesyuarat keempat Peringkat Tinggi Rangkaian Bandar Pintar ASEAN-Jepun bermula di sini hari ini, dengan ASEAN mengetengahkan tiga tindakan utama untuk...

Australia dakwa suspek IS

- Advertisment -