Serangan maut di Kabul ragut 43 nyawa

KABUL, 25 Dis – Serangan senjata api dan pengeboman nekad selama satu jam di kawasan perkarangan kerajaan Kabul membunuh sekurang-kurangnya 43 orang, kata kementerian kesihatan hari ini, menjadikannya salah satu serangan paling teruk ke atas ibu negara Afghan pada tahun ini.

Tidak ada kumpulan militan yang mendakwa bertanggungjawab atas serangan itu, yang mengakhiri tahun berdarah untuk Afghanistan apabila ramai orang awam dan anggota keselamatan terbunuh.

Jurucakap Taliban Zabiullah Mujahid memberitahu AFP serangan itu “tidak mempunyai kaitan dengan militan.”

Seramai 25 orang lagi cedera dalam pembunuhan semalam di kawasan perkarangan Kementerian Kerja Raya dan beberapa pejabat lainnya, kata jurucakap Waheed Majroh.

Lelaki bersenjata menyerbu perkarangan pada tengah hari selepas meletupkan sebuah kereta di pintu masuk utama, bertentangan dengan bangunan pangsapuri perumahan, menyebabkan keadaan menjadi huru-hara. Sesetengah orang melompat dari tingkap setinggi beberapa tingkat untuk melepaskan diri daripada militan.

Mereka yang tercedera ketika menerima rawatan di hospital selepas berlakunya serangan maut di Kabul, Afghanistan, kelmarin. – AFP

Pengeboman berani mati nampaknya satu umpan, menurut saksi yang memberitahu AFP mereka melihat beberapa militan memasuki perkarangan menerusi pintu belakang.

Beratus orang terperangkap di dalam perkarangan selama beberapa jam tatkala anggota keselamatan membanjiri kawasan tersebut, membabitkan penyerang dalam pertempuran sengit diselang-seli dengan beberapa letupan.

Sekurang-kurangnya empat militan, termasuk pengebom, terbunuh dan lebih daripada 350 orang dibebaskan, kata pegawai. Kebanyakan mangsa yang terkorban dan cedera adalah orang awam, yang telah menerima kesan paling teruk dalam perang selama 17 tahun.

Ia adalah serangan paling teruk di ibu negara Afghan sejak seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya di tengah perhimpunan agama pada bulan lalu, membunuh sekurang-kurangnya 55 orang.

Presiden Ashraf Ghani, dengan kerajaannya telah dikecam disebabkan kegagalan keselamatannya, berkata “pengganas menyerang sasaran awam untuk menyembunyikan kekalahan mereka di medan pertempuran.” – AFP