Serangan mortar: PBB salahkan tentera Afghan

KABUL, 1 JULAI – Misi Bantuan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Afghanistan (UNAMA) menyalahkan pasukan tentera negara itu kerana membedil mortar ke arah pasar yang dipenuhi orang awam semalam, menyebabkan 23 terbunuh.

UNAMA, menerusi ciapan di Twitter, berkata siasatan awal mendapati serangan itu menggunakan mortar milik Tentera Kebangsaan Afghanistan (ANA).

“Pelbagai sumber boleh dipercayai menegaskan bahawa ANA bertanggungjawab membedil mortar itu bagi membalas serangan puak Taliban tetapi tersasar ke arah pasar berkenaan,” katanya. Pihak berkuasa Afghanistan sebelum ini menyalahkan Taliban melancarkan serangan di daerah Sangin di wilayah Helmand, dengan Presiden Ashraf Ghani mengutuk serangan itu sebagai perbuatan pengganas.

UNAMA menggesa kerajaan Afghanistan melancarkan siasatan bebas dan mendesak puak Taliban dan tentera Afghanistan menghentikan pertempuran di kawasan orang awam.

Taliban menafikan bertanggungjawab atas serangan itu dan menuduh tentera Afghanistan melancarkan serangan mortar itu, yang turut mencederakan 15 orang awam.

Pemberontak berada di wilayah besar Helmand, sebuah wilayah yang terkenal dengan pengeluaran candu, di mana pasukan Afghanistan dan militan terlibat dalam pertempuran hampir setiap hari.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, beberapa serangan kejam telah menyasarkan pasukan keselamatan Afghanistan, masjid, pekerja hak asasi manusia dan pendakwa raya.

Taliban telah menafikan sebahagian besar serangan ini, tetapi mengakui pejuang mereka telah menyasarkan pasukan keselamatan di kebanyakan wilayah. – AP