Serangan nekad ragut tiga nyawa

MAZAR-I-SHARIF, AFGHANISTAN, 25 OGOS – Taliban mengaku melakukan serangan nekad yang membunuh sekurang-kurangnya tiga orang di utara Afghanistan hari ini ketika negara jiran Pakistan menggesa rundingan damai yang tertunda untuk dimulakan.

Pengebom berani mati meletupkan diri di sebuah trak berhampiran pangkalan tentera Afghanistan di wilayah Balkh, kata jurucakap tentera wilayah Hanif Rezayee.

Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid mengatakan di Twitter bahawa serangan itu merupakan tindak balas terhadap video yang tersebar dalam talian yang menunjukkan bahawa tentera Afghanistan menganiaya mayat tentera Taliban di selatan. Kementerian Pertahanan telah melancarkan siasatan terhadap video tersebut, yang muncul awal bulan ini.

Serangan hari ini mengorbankan dua orang awam dan seorang komando dan mencederakan lebih dari 40 yang lain, kata Rezayee. Banyak rumah rosak atau musnah dan tentera membantu menyelamatkan mangsa, katanya. Kementerian Pertahanan mengesahkan serangan itu.

Ia berlaku ketika kerajaan Pakistan akan menemui perunding utama Taliban di Islamabad untuk meneruskan rundingan damai di Afghanistan.

Pakistan mengatakan bahawa rundingan adalah satu-satunya jalan di Afghanistan dan melihat peranannya sebagai fasilitator. – AFP