Serangan pengganas gegar Australia

MELBOURNE, 9 Nov – Polis berkata seorang pendatang Somali telah membunuh seorang pejalan kaki dan mencederakan dua yang lain dalam satu insiden tikaman pada waktu sibuk di bandar kedua Australia, hari ini dan melabelnya sebagai serangan pengganas.

Lelaki tidak dikenali itu memandu sebuah kenderaan pacuan empat roda yang sarat dengan botol berisi gas dan memasuki tengah bandar Melbourne, membakar keretanya dan menyerang pejalan kaki menggunakan sebilah pisau, kata polis.

Penyerang itu menikam tiga orang pejalan kaki sebelum didatangi pegawai bersenjata yang akhirnya menembaknya di dadanya.

Salah seorang mangsa terbunuh di lokasi kejadian dan penyerang itu turut meninggal dunia tidak lama kemudian di hospital.

Polis antikeganasan dan pegawai perisikan masih menjalankan siasatan bagaimana insiden itu berlaku, namun berkata penyerang itu dikenali sebagai perkhidmatan perisikan.

IS, yang sering kali didakwa bertanggungjawab terhadap serangan seumpama itu berkata pelaku itu merupakan seorang “pejuang IS dan telah melancarkan serangan itu.”

Rakaman video menunjukkan polis bergelut kira-kira seminit untuk menumpaskan lelaki berkenaan yang secara rambang cuba menikam dua orang polis.

Sementara itu, dua orang awam dengan berani memberi bantuan kepada polis, di mana salah seorang daripadanya bersenjatakan kerusi manakala seorang lagi cuba melanggar suspek itu menggunakan kereta sorong membeli-belah dan dianggap sebagai ‘wira Aussie’ di media sosial.

Namun, penyerang itu terus melancarkan serangan sebelum seorang pegawai bertindak menembaknya di dada yang membawa kematian. – AFP

Gambar menunjukkan kenderaan yang digunakan oleh penyerang semasa melancarkan serangan di Melbourne, kelmarin. – AP