BERLIN, 8 Feb – Seorang penyokong RB Leipzig menggambarkan bagaimana samseng-samseng di Dortmund menyerang kumpulan mereka, termasuk kanak-kanak, dengan melontarkan batu dan botol serta tahap kebencian ke atas kelab yang disokong oleh Red Bull itu, yang mana telah mengejutkan bola sepak Jerman.
Samseng-samseng bukanlah sesuatu yang baru dalam bola sepak Jerman, tetapi keganasan ke atas para penyokong RB Leipzig, termasuk ahli-ahli keluarga yang muda, adalah sesuatu yang baru dan kejam. Sebahagian daripada 8,000 orang penyokong RB Leipzig dalam ketakutan, yang telah menyaksikan pasukan mereka tewas 1-0 di depan 81,360 penyokong di Dortmund, telah diserang ketika dalam perjalanan bagi menyaksikan perlawanan itu.
“Dalam perjalanan ke stadium Borussia, para penyokong (pasukan lawan) tidak dipisahkan,” kata penyokong RB Leipzig, Lars H. Kepada harian Jerman, Bild.
“Mereka melontar telur, tin, botol dan juga batu ke arah kami, bendera dan kain dikoyak-koyak.
“Anak-anak kami telah ditolak dan diserang, kami terpaksa membawa mereka ke tepi. Terdapat beberapa orang cedera, sebahagiannya mendapat luka.
“Dalam masa lapan tahun sebagai seorang penyokong, saya tidak pernah mengalami sesuatu pengalaman seburuk ini di Dortmund.”
Kebencian daripada para penyokong pasukan lawan adalah sesuatu yang RasenBallsport Leipzig perlu hadapi dalam laluan menuju ke kedudukan teratas Bundesliga. Berikutan empat kenaikan dalam masa tujuh tahun, mereka dilihat sebagai ancaman kepada semua perkara baik mengenai bola sepak Jerman kerana bentuk komersial yang mereka perlihatkan.
Ketika perlawanan Bundesliga itu, para pemain Leipzig telah diserang dengan cahaya laser di muka mereka dan terdapat sekitar 60 kain rentang di stadium tersebut dengan slogan anti Red Bull. – AFP