Serangan pisau, 11 cedera

BEIJING, 21 Feb – Seorang lelaki yang memiliki sejarah tekanan mental mencederakan 11 orang dengan menggunakan pisau selepas menyerang secara rambang yang mensasarkan pejalan-pejalan kaki dalam kejadian yang berlaku di tengah China, menurut pihak berkuasa setempat hari ini.

Suspek yang berusia 33 tahun itu dikenali sebagai Guo Kaibin, kini sudah dalam tahanan polis, menurut kenyataan melalui media sosial oleh pihak polis di Ji’an, sebuah bandar di tengah wilayah Jiangxi.

Merujuk kepada ahli keluarga Guo, pihak berkuasa berkata penyerang itu memiliki sejarah tekanan mental.

Meskipun kecederaan yang dialami tidak mengancam nyawa, serangan tersebut turut melibatkan pihak polis dan para pelajar. Mangsa-mangsa yang tercedera menerima rawatan dan siasatan sedang dijalankan, menurut pihak polis setempat.

Insiden serangan pisau itu sering berlaku di China, yang menyekat pemilikan senjata api.

Awal bulan ini, seorang lelaki menikam lapan orang sehingga mati dan mencederakan tujuh yang lain di sebuah perkampungan di barat laut, wilayah Gansu.

Pada Ogos tahun lalu, enam orang terkorban selepas seorang lelaki mengamuk dalam insiden yang berlaku di selatan China, menikam teman wanitanya dan ahli keluargnya sebelum merempuh pejalan kaki dan menyerang orang awam.

Dan pada Februari, seorang lelaki yang bersenjatakan pisau membunuh seorang wanita dan mencederakan 12 yang lain dalam insiden di pusat membeli-belah Beijing.

Beberapa serangan pernah berlaku juga mensasarkan kanak-kanak sekolah, memaksa pihak berkuasa untuk meningkatkan keselamatan di persekitaran sekolah.

Pada April, lelaki bersenjatakan pisau membunuh sembilan orang pelajar sekolah dan mencederakan sekurang-kurangnya 10 yang lain. – AFP