Saturday, December 7, 2024
29.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Serangan pisau di Beijing cederakan lima orang

    BEIJING, 29 OKT – Serangan pisau berhampiran sebuah sekolah di ibu negara China kelmarin telah mencederakan lima orang, termasuk tiga kanak-kanak, kata polis.

    Serangan itu berlaku pada tengah hari di daerah Haidian barat laut Beijing. Bagaimanapun, tiada kecederaan yang meragut nyawa, kata polis dalam satu kenyataan. Suspek berusia 50 tahun bernama Tang telah ditahan di tempat kejadian dan sedang disiasat, katanya.

    Lokasi serangan yang diberikan oleh kenyataan itu adalah berhampiran sebuah sekolah rendah terkenal.

    Menerusi video yang tular di media sosial menunjukkan dua kanak-kanak sekolah terbaring di atas tanah. Manakala satu lagi visual menunjukkan seorang lelaki berlumuran darah di mukanya.

    Beberapa serangan pisau telah berlaku di China tahun ini, melibatkan pelajar sekolah.

    Bulan lalu, seorang pelajar Jepun berusia 10 tahun maut selepas diserang dengan pisau berhampiran sekolahnya di bandar selatan Shenzhen. Satu lagi serangan Jun lalu di perhentian bas sekolah di Suzhou mencederakan seorang wanita dan anaknya. Seorang wanita Cina yang cuba campur tangan juga telah dibunuh.

    Pada awal Oktober, tiga orang terbunuh dan 15 yang lain cedera dalam serangan pisau di pasar raya Shanghai.

    China mengehadkan pemilikan senjata persendirian dengan ketat, menjadikan pisau dan bahan letupan buatan sendiri antara senjata yang paling biasa digunakan. – AP

    Pegawai polis semasa melintasi sebuah sekolah rendah berikutan serangan pisau yang berlaku di persimpangan jalan berhampiran sebuah sekolah di daerah Haidian barat laut di Beijing pada 28 Oktober. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda