Serangan roket bunuh 10 orang

KABUL, 22 NOV – Naib Presiden Afghan Amrullah Saleh hari ini berjanji akan memburu mereka yang bertanggungjawab terhadap serangan roket ke atas ibu negara yang membunuh sekurang-kurangnya 10 orang, walaupun tatkala kumpulan Islamic State (IS) mendakwa mereka telah melancarkan serangan itu.

Roket melanda beberapa daerah Kabul semalam, termasuk di sekitar Zon Hijau yang menempatkan kedutaan dan firma asing.

Serangan berlaku beberapa jam sebelum Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Mike Pompeo dijangka bertemu dengan perunding dari Taliban dan kerajaan Afghan di Qatar, di tengah petanda perkembangan dalam rundingan di antara kedua-dua pihak berperang.

“Kami akan mencari rangkaian kumpulan yang membawa bahan roket yang digunakan dalam serangan,” kata Saleh di laman Facebook selepas bertemu dengan pegawai keselamatan.

Saleh berkata serangan membunuh 10 orang dan mencedera 51 yang lain.

Beberapa bangunan juga musnah, termasuk kedutaan Iran dan sebuah kompleks perubatan.

Ia merupakan serangan ketiga di ibu negara yang didakwa dilakukan oleh IS dalam kurang sebulan.

Dua serangan sebelumnya menyasarkan pusat pendidikan, yang membunuh hampir 50 orang, kebanyakannya pelajar. – AFP

Sanak saudara mengerumuni mayat seorang budak lelaki yang terbunuh akibat serangan mortar di Kabul, Afghanistan pada 21 November. – AP