Serangan roket sasar pangkalan tentera barat

BAGHDAD, 3 MAC – Sekurang-kurangnya 10 buah roket menyerang pangkalan tentera di bahagian barat Iraq yang menempatkan pasukan gabungan pimpinan Amerika Syarikat (AS) hari ini, menurut sumber keselamatan, dua hari sebelum Paus Francis membuat lawatan bersejarah ke negara tersebut.

Serangan yang berlaku di pangkalan Ain al-Assad di gurun barat Iraq merupakan kejadian keempat dalam tempoh kurang daripada tiga minggu serangan roket menyasarkan tentera barat di negara itu.

Ain al-Assad menempatkan tentera Iraq dan tentera gabungan pimpinan AS yang membantu melawan saki baki Kumpulan IS – dan dron tanpa pemandu digunakan mereka bagi tujuan pemantauan.

Jurucakap tentera gabungan, Kolonel Wayne Marotto mengesahkan bahawa 10 buah roket mengenai pangkalan pada 7:20 pagi, tetapi tidak memberikan butiran sebarang kerosakan.

Pasukan keselamatan Iraq berkata mereka menemui platform daripada 10 buah roket mengenai pangkalan Ain al-Assad, menyebut tiada ‘kerosakan besar’.

Sumber keselamatan barat memberitahu AFP bahawa roket buatan Iran, model Arash, berukuran 122mm roket artileri dan lebih berat berbanding dalam serangan serupa.

Puluhan serangan roket dan bom tepi jalan menyasarkan pasukan keselamatan barat, tentera dan tapak diplomatik di Iraq pada 2020, dengan Iraq serta pegawai barat menyalahkan kumpulan pro Iran.

Pada pertengahan Februari, roket menyasarkan tentera gabungan pimpinan AS di ibu kota wilayah Kurdish, Arbil, membunuh dua orang.

Beberapa hari selepas itu, lebih banyak serangan menyasarkan syarikat kontraktor tentera di utara ibu kota dan kedutaan AS di Baghdad. – AFP

Pangkalan Ain al-Asad yang diserang sekurang-kurangnya 10 roket yang menyasarkan pasukan keselamatan tentera gabungan. – AP