Serangan roket tidak jejas solat Aidiladha

KABUL, 20 JULAI – Sekitar tiga roket telah mendarat dekat istana presiden Afghanistan hari ini ketika pemimpin negara itu, Ashraf Ghani menunaikan solat Hari Raya Aidiladha bersama para pegawai.

Walaupun tidak ada yang mendakwa bertanggungjawab, ia adalah serangan roket pertama di Kabul sejak Taliban melancarkan serangan bersiri yang berbetulan dengan pengunduran terakhir tentera asing di negara itu.

Hari cuti awal pagi yang tenang telah dibingitkan dengan bunyi roket di seluruh Zon Hijau yang menempatkan istana presiden dan beberapa kedutaan termasuk misi AS.

Dalam video yang disiarkan dalam laman Facebook istana, puluhan orang berkumpul di kebun meneruskan solat mereka meskipun roket melintas dan meletup berdekatan mereka.

Presiden Ghani yang berpakaian tradisional Afghanistan dan memakai serban kelihatannya tidak terkejut sambil meneruskan solatnya.

“Taliban telah membuktikan yang mereka tidak mempunyai hasrat untuk perdamaian,” katanya dalam ucapannya selepas itu.

Jurucakap kementerian dalam negeri, Mirwais Stanikzai berkata tiga roket telah ditembak dari sebuah trak pikap namun satu gagal untuk meletup.

“Berdasarkan maklumat awal kami, tidak ada korban jiwa,” tambahnya.

Serangan terbaharu itu muncul sehari selepas puluhan misi diplomatik di Kabul menggesa bagi ‘penamatan segera’ serangan pemberontak dengan mengatakan ia adalah bertentangan dengan dakwaan yang mereka mahukan untuk menjamin perjanjian politik bagi menamatkan konflik. – AFP

Jemaah Islam semasa solat Aidiladha di Jalalabad pada 10 Julai. Tiga roket telah dilancarkan dekat istana presiden Afghanistan, kelmarin. – AFP