Serangan sasar gabenor Afghan, lapan terbunuh

JALALABAD, AFGHANISTAN, 5 OKT – Satu serangan nekad menyasarkan gabenor wilayah Afghan membunuh sekurang-kurangnya lapan orang hari ini, kata pegawai, tatkala presiden berkunjung ke Qatar di mana rundingan perdamaian dengan Taliban telah menemui kebuntuan.

Dua puluh lapan orang mengalami kecederaan apabila penyerang merempuh kenderaannya yang sarat dengan bahan letupan pada konvoi Rahmatullah Yarmal, gabenor wilayah timur Laghman.

“Gabenor sedang memandu ke pejabatnya apabila keretanya diserang. Empat daripada pengawal peribadinya dan empat orang awam terbunuh, 28 cedera,” beritahu jurucakap gabenor Assadullah Daulatzai kepada AFP, menambah gabenor tidak mengalami kecederaan.

Jurucakap kementerian dalam negeri Tareq Arian mengesahkan serangan itu dan berkata kebanyakan mangsa yang cedera terdiri daripada orang awam.

Ia berlaku apabila Presiden Ashraf Ghani berlepas ke Doha hari ini untuk bertemu dengan pegawai Qatar, tiga minggu selepas pelancaran rundingan perdamaian di antara kerajaan Afghan dan Taliban. Ghani pertama akan singgah di Kuwait untuk menyampaikan takziah atas kematian Emir Sheikh Sabah al-Ahmad Al-Sabah, kata jurucakap beliau Sediq Sediqqi. – AFP

Anggota keselamatan Afghan memeriksa tapak serangan bom kereta yang menyasarkan konvoi gabenor wilayah Laghman di Mihtarlam, wilayah Laghman kelmarin. – AFP