Serangan siber sasar hospital Czech

PRAGUE, 19 APRIL Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Mike Pompeo berkata semalam beliau bimbang dengan serangan siber yang menyasarkan hospital Czech yang bergelut memerangi koronavirus.

“Tatkala dunia bergelut dengan pandemik COVID-19, aktivi-ti siber berniat jahat yang menjejas keupayaan hospital dan sistem penjagaan kesihatan untuk memberikan perkhidmatan kritikal mungkin memberikan kesan teruk,” kata Pompeo. “Sesiapa yang terlibat dalam tindakan sedemikian akan menerima akibatnya,” tambah beliau dalam satu kenyataan yang diperoleh oleh AFP.

Beberapa hospital Czech telah melaporkan serangan siber yang dilancarkan baru-baru ini. Agensi Siber Nasional dan Keselamatan Maklumat Czech NUKIB mengingatkan terhadap serangan yang dijangka akan berlaku ‘dalam beberapa hari akan datang.’

Hospital di timur bandar Czech Olomouc dan Ostraca serta beberapa bandar lain mengumumkan serangan ke atas sistem komputer mereka yang berjaya dipatahkan oleh mereka. – AFP