Thursday, February 13, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Serangan Taliban membunuh 6 polis

    PULI ALAM, 30 Mei – Penyerang Taliban termasuk seorang pengebom berani mati menyerbu sebuah balai polis di selatan Afghanistan dan membunuh enam anggota polis, kata jurucakap polis hari ini.

    Pengebom itu meledakkan kenderaan yang penuh dengan bahan letupan di pintu masuk balai polis di Puli Alam, ibu kota wilayah Logar, kata jurucakap polis daerah, Shapoor Ahmadzai.

    Tambahnya, tiga penyerang lain kemudian menyerbu kompaun balai polis, mencetuskan insiden tembak-menembak selama hampir setengah jam dengan pasukan keselamatan.

    “Dalam setengah jam pasukan keselamatan membunuh semua penyerang yang menyerbu itu. Namun malangnya, tiga polis kebangsaan dan tiga polis trafik terbunuh. Lapan orang awam juga tercedera,” katanya kepada AFP.

    Jurucakap gabenor wilayah, Shamshad Larwai mengesahkan butiran itu dan berkata keadaan itu terkawal, tetapi letupan itu telah merosakkan balai polis.

    Taliban, yang melancarkan beberapa serangan terhadap pasukan keselamatan Afghanistan dan pegawai kerajaan, mendakwa bertanggungjawab terhadap serangan itu.

    Dalam kejadian yang berasingan hari ini, sebuah kenderaan yang dipasang dengan bom telah diletupkan di dalam sebuah garaj di bandar selatan Kandahar, membunuh tiga orang mekanik dan menyebabkan 10 yang lain cedera, kata jurucakap gabenor Daud Ahmadi.

    Tiada kumpulan yang segera mengaku bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.

    Minggu lepas 16 orang terbunuh dan berpuluh-puluh yang lain cedera apabila sebuah kereta api yang dipasang dengan bahan letupan meletup ketika pasukan keselamatan cuba untuk menanggalkan fius bom itu di wilayah Kandahar. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda