MOGADISHU, 2 April – Kebenaran oleh Presiden Donald Trump untuk memberi kuasa kepada angkatan tentera Amerika Syarikat memerangi kumpulan militan yang ada kaitan dengan Al-Qaeda di Somalia akan meletakkan nyawa orang awam dalam bahaya.
Tambah perit lagi, masalah kemarau yang kini menghimpit beribu-ribu penduduk di kawasan yang dianggap zon perang.
Trump sudah meluluskan permintaan Pentagon untuk membenarkan lebih banyak serangan udara secara agresif ke atas kumpulan militan Al-Shahab ketika bahagian di selatan Somalia dianggap sebagai kawasan yang aktif dengan aktiviti pengganas.
Serentak dengan itu, pasukan tindakan khas AS boleh bergerak semakin hampir ke lokasi pertempuran dan melancarkan serangan udara pada kadar segera sementara membantu pasukan Tentera Nasional Somalia.
Penyelidik Hak Asasi Manusia Somalia, Laetitia Bader berkata, keputusan itu dilihat boleh menimbulkan salah faham apa tah lagi Somalia ketika ini berada dalam konflik dan sebarang maklumat bebas sukar diperoleh.
“Pada saat beribu orang awam sedang berpindah, AS perlu berwaspada mendapatkan maklumat mengenai kedudukan orang awam sebelum melancarkan serangan udara,” katanya.
Kerajaan pusat Somalia yang sehingga kini masih berhempas pulas untuk mengukuhkan kedudukan mereka tidak memberi sebarang komen berhubung keputusan Trump itu.
Somalia adalah salah satu daripada tujuh negara Islam yang disenaraikan dalam larangan memasuki AS oleh Trump, baru-baru ini. – AP