Serangan udara bunuh 20 nelayan

KANO, 28 SEPT – Sekurang-kurangnya 20 nelayan terbunuh dalam serangan tentera Nigeria di sebuah kem militan di timur laut negara itu.

Sumber berkata sebuah jet pejuang Nigeria semalam mengebom Kwatar Daban Masara di Tasik Chad, yang mengunjur melintasi Nigeria dan negara jiran Niger, Chad dan Cameroon.

Kawasan itu adalah benteng bagi Wilayah Islam Afrika Barat (ISWAP) yang bersekutu dengan Daesh.

Laporan kematian itu diterima tidak sampai dua minggu selepas pegawai menyatakan serangan udara lain di sebuah kampung turut membunuh sembilan orang awam di timur laut Nigeria.

ISWAP baru-baru ini menamatkan larangan nelayan menangkap ikan di wilayahnya, sekali gus membolehkan nelayan masuk dan menangkap ikan di tasik air tawar dengan bayaran.

“Justeru mana-mana nelayan yang pergi ke kawasan itu berdepan risiko sendiri kerana ia adalah wilayah musuh dan tidak ada cara untuk membezakan mereka dari pengganas.

“Daripada maklumat yang kami terima, jumlah kematian jauh lebih tinggi daripada 20,” menurut satu sumber perisikan tempatan.

Sementara itu, berita mengenai kejadian itu agak lewat kerana telekomunikasi yang terhad di wilayah berkenaan. Jurucakap tentera udara Nigeria tidak segera memberi sebarang maklum balas pengesahan mengenai perkara itu. – AFP