BANGKOK, 13 JAN – Sekurang-kurangnya 15 orang awam terbunuh dan 10 lagi cedera dalam serangan udara tentera junta Myanmar di sebuah pasar di kawasan perlombongan emas di negeri utara Kachin, kata jurucakap kumpulan pemberontak etnik yang menguasai kawasan tersebut kepada AFP kelmarin.
Junta Myanmar telah dituduh melakukan serangan ke atas orang awam ketika ia berusaha untuk menumpaskan perlawanan terhadap rampasan kuasa pada 2021.
Serangan terkini berlaku sekitar jam 11 pagi pada Sabtu, kata Kolonel Naw Bu, jurucakap dari Tentera Pembebasan Kachin (KIA), kepada AFP.
“Semua yang terbunuh adalah orang awam, termasuk pelombong emas dan penjaja tempatan,” katanya.
KIA, yang mempunyai kira-kira 7,000 pejuang, telah berperang dengan tentera Myanmar selama beberapa dekad untuk mendapatkan autonomi dan menguasai sumber-sumber tempatan di negeri Kachin. – AFP
