Serangan udara Rusia ragut 19 jiwa

BEIRUT, 22 JULAI – Enam belas orang awam adalah antara 19 orang yang terbunuh hari ini dalam serangan udara Rusia di sebuah pasar di barat laut Syria, kata seorang pemerhati, satu lagi keganasan terbaharu di negara itu.

Sekurang-kurangnya 45 orang lagi cedera dalam serangan udara yang melanda pasar sayur borong di bandar Maaret al-Numan di wilayah Idlib, menurut Balai Cerap Hak Asasi Manusia Syria.

Jumlah korban masih boleh meningkat kerana kebanyakan yang tercedera berada dalam keadaan kritikal dan beberapa orang lagi masih terperangkap di bawah runtuhan, kata pemerhati yang berpangkalan di Britain.

Ketua Balai Cerap, Rami Abdelrahman berkata 16 daripada mereka yang terbunuh adalah orang awam manakala tiga lagi masih dikenal pasti.

Serangan terbaharu itu berlaku sehari selepas serangan udara oleh Damsyik dan sekutu Rusianya di rantau Idlib yang dikendalikan jihad Syria membunuh 18 orang, termasuk seorang wartawan.

Anggota penyelamat Syria mengeluarkan seorang kanak-kanak yang tercedera dari bawah runtuhan selepas serangan udara Rusia di Maaret al-Numan di wilayah barat laut Idlib, kelmarin. – AFP

Anas al-Dyab, jurugambar dan juruvideo berusia di awal 20an, adalah ahli kumpulan penyelamat Helm White yang turut menyumbang kepada AFP.

Dia terbunuh dalam serangan udara Rusia di kampung Khan Sheikhun kelmarin,menurut penyelamat dan Balai Cerap Syria untuk Hak Asasi Manusia.

Rejim Damsyik dan sekutunya Rusia telah meningkatkan serangan pengeboman ke atas Idlib sejak akhir April, meskipun perjanjian zon penampungan September melindungi wilayah sekitar tiga juta orang dari serangan ketenteraan secara besar-besaran.

Serangan seumpamanya telah membunuh lebih daripada 650 orang awam, menyebabkan puluhan ribu orang melarikan diri dari rumah mereka.

Bekas anggota Al-Qaeda Syria, Hayat Tahrir al-Sham pada Januari mengambil kawalan pentadbiran sepenuhnya di rantau ini, walaupun para jihad dan pemberontak lain juga dilihat berada di kawasan itu. – AFP