Serangan udara sasar militia

SANAA, 16 Mei – Kapal terbang perang pimpinan Saudi menyerang sasaran pemberontak Yaman, termasuk di ibu negara Sanaa hari ini, dua hari selepas pemberontak mendakwa melancarkan serangan dron yang menutup satu saluran paip minyak utama di negara jiran Arab Saudi, kata pemberontak dan saksi.

Pengeboman baharu berlaku selepas duta PBB, yang telah mempelopori usaha untuk menamatkan konflik lebih daripada empat dekad di negara Arab paling miskin di dunia, mengingatkan ia masih menghadapi ancaman meletusnya perang habis-habisan.

Gabungan pimpinan Saudi, yang telah bertempur dengan pemberontak Huthi sejak Mac 2015, mengesahkan kapal terbang perangnya sedang melancarkan pelbagai serangan ekoran daripada serangan dron pemberontak ke atas saluran paip utama timur-barat Arab Saudi pada Selasa.

“Kami telah memulakan pelancaran serangan udara yang menyasarkan tapak yang dikendali oleh militia Huthi, termasuk di Sanaa,” beritahu seorang pegawai gabungan, yang enggan dikenal pasti, kepada AFP.

Seorang saksi memberitahu AFP beliau terdengar letupan kuat di pusat bandar Sanaa.

Kepulan asap kelihatan selepas satu serangan udara di ibu negara Yaman, Sanaa kelmarin. Kapal terbang perang pimpinan Saudi menyerang sasaran pemberontak Yaman, termasuk ibu negara Sanaa hari ini, dua hari selepas pemberontak mendakwa melancarkan serangan dron yang menutup saluran paip minyak utama di negara jiran. – AFP

Televisyen pemberontak Al-Masirah melaporkan enam serangan di daerah Arhab wilayah Sanaa, diikuti oleh serangan seterusnya, termasuk sekurang-kurangnya satu di Sanaa sendiri.

Saksi kedua memberitahu AFP bahawa serangan bermula pada pukul 8 pagi ketika ramai penduduk Yaman masih tidur sementara menunggu berbuka puasa pada senja pada bulan suci Ramadan ini.

“Terdapat banyak serangan,” tambah beliau.

Pemberontak berkata serangan pada Selasa ke atas saluran paip Saudi merupakan respon terhadap “jenayah” yang dilakukan oleh Riyadh ketika perangnya di Yaman, yang telah dikritik oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan kumpulan hak asasi manusia.

Saluran paip itu, yang boleh membawa lima juta tong minyak mentah sehari, menyediakan jalan alternatif strategik untuk eksport Saudi sekiranya jalan perkapalan dari Teluk menerusi Selat Hormuz ditutup.

Iran, yang dituduh oleh Negara Teluk Arab sebagai menyokong pemberontak Yaman, telah mengugut akan menutup saluran penting bekalan minyak global jika berlaku konfrontasi tentera dengan Amerika Syarikat. – AFP