Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MEI – Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) memaklumkan bahawa hasil daripada pemantauan yang dibuat oleh Jabatan Pertanian dan Agrimakanan telah mendapati bahawa pada masa ini terdapat sejenis serangga perosak tanaman yang dikenali sebagai Ulat Ratus Fall atau nama saintifik Spodoptera frugiperda yang menyerang dan merosakkan tanaman jagung di Negara Brunei Darussalam.
KSSUP dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, menjelaskan bahawa pada Disember 2019, serangan Ulat Ratus Fall itu telah diisytiharkan oleh pihak Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) sebagai salah satu ancaman global yang mengancam sekuriti makanan dengan menjejaskan peladang-peladang berskala kecil.
Ulat Ratus Fall berasal dari rantau Amerika dan telah merebak ke rantau Afrika pada 2016 dan mula merebak ke rantau Asia pada 2019.
Pada lazimnya, ulat berkenaan akan menjadikan jagung sebagai tanaman utama untuk diserang, tetapi ia juga berpotensi menjejaskan sekurang-kurangnya 80 jenis tanaman lain, termasuk padi, tembikai, lada, tomato, terung, timun, pisang, dan sayur jenis daun yang mana tanaman-tanaman berkenaan sedang diusahakan oleh peladang-peladang di negara ini.
Kenyataan itu menerangkan lanjut bahawa Ulat Ratus Fall menyerang di semua peringkat tanaman iaitu daripada peringkat semaian hingga peringkat berbuah dan boleh merosakkan tanaman-tanaman sehingga mengakibatkan penurunan produktiviti ladang dari 20 peratus sehingga 100 peratus kehilangan hasil secara keseluruhan.


Oleh itu, memandangkan ancamannya yang berisiko tinggi dalam menjejaskan penghasilan industri pertanian negara terutamanya industri padi, KSSUP telah mengambil langkah pengawalan drastik yang bertujuan untuk memutuskan kitaran hayat ulat berkenaan dan mengurangkan pembiakan Ulat Ratus Fall.
Ke arah itu, satu perintah bertulis kepada semua peladang jagung di Negara Brunei Darussalam bagi penghapusan atau pemusnahan tanaman jagung di ladang mereka telah dikeluarkan, selaras dengan peruntukan di bawah Bab 13(1) Binatang-binatang Musuh Pertanian dan Tumbuhan-tumbuhan yang Merosakkan, Penggal 43. Kenyataan menegaskan bahawa kegagalan mematuhi perintah berkenaan merupakan suatu kesalahan yang boleh dikenakan hukuman penjara selama enam bulan dan denda sebanyak $2,000 sepertimana diperuntukkan di bawah bab 14 Akta yang sama.
Sehubungan dengan itu, KSSUP memohon kerjasama orang ramai yang ada menanam jagung untuk menghapuskan atau memusnahkan dengan sesegeranya tanaman jagung mereka dengan menebang atau mencabut dan membakar secara terkawal tanaman jagung berkenaan serta memastikan tanaman jagung yang telah dicabut dibakar sehingga menjadi abu.
Mereka seterusnya disarankan untuk meradu tanah bersama tanaman yang telah dibakar dan disembur dengan racun yang disyorkan untuk memusnahkan kepompong yang ada dalam tanah serta merehatkan tanah dan tidak bertanam jagung dalam masa tiga bulan untuk memutuskan kitaran hayat Ulat Ratus Fall atau menanam dengan tanaman lain, seperti keladi dan tanaman berisiko sangat rendah diserang oleh ulat berkenaan seperti sekoi, kacang bendir dan bayam.
KSSUP melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan akan menjalankan pemantauan yang berterusan bagi mengawal tahap serangan Ulat Ratus Fall untuk memastikan pengeluaran hasil ladang tanaman tempatan tidak terjejas. Sekiranya langkah-langkah yang diperintahkan tidak dilaksanakan, kerugian akan ditanggung bukan oleh peladang jagung sahaja, bahkan ia akan menjejaskan industri tanaman pertanian negara secara keseluruhannya.




























