Monday, October 7, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Serap Bahasa Arab dalam pusat, kuliah

    Oleh Yusrin Junaidi

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Feb – Memperkuat peluang pengajaran Bahasa Arab dalam masyarakat menerusi peranan pusat-pusat jagaan kanak-kanak dan pusat pengajaran Al-Quran serta mengadakan kuliah-kuliah, seminar dan peraduan dalam Bahasa Arab secara berkala adalah antara hasil resolusi Persidangan Antarabangsa Pengajaran Bahasa Arab di Asia Tenggara, yang dibacakan pada majlis penutupnya, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis penutup yang berlangsung di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) berkenaan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yusof.

    Resolusi berkenaan telah dibacakan oleh Pensyarah Fakulti Bahasa Arab UNISSA, Dr. Salah Seboui.

    Resolusi persidangan anjuran bersama Pusat Bahasa, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan UNISSA itu juga mencadangkan perkembangan pengajaran Bahasa Arab sebagai bahasa identiti dan dalam mengukuhkan budaya Islam, penyebaran Bahasa Arab di rantau Asia Tenggara perlu diberi perhatian sepenuhnya.

    Resolusi itu juga menekankan keperluan untuk menyediakan skim atau rancangan serta program-program pendidikan yang dapat menarik minat para pelajar dan memperkembangkan kurikulum-kurikulum pendidikan, serta penggunaan teknologi dan kaedah pengajaran moden dalam pengajaran Bahasa Arab.

    Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz hadir pada Majlis Penutup Persidangan Antarabangsa Pengajaran Bahasa Arab di Asia Tenggara di UNISSA.
    Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz hadir pada Majlis Penutup Persidangan Antarabangsa Pengajaran Bahasa Arab di Asia Tenggara di UNISSA.
    Antara jemputan yang hadir pada majlis penutup tersebut.
    Antara jemputan yang hadir pada majlis penutup tersebut.

    Selain itu, resolusi berkenaan juga mencadangkan penubuhan Persatuan Guru Bahasa Arab di Asia Tenggara agar menjadi satu wadah atau tempat untuk saling bertukar-tukar pandangan dan pengalaman, serta meng-utarakan permasalahan dan penyelesaiannya.

    Selesai pembentangan resolusi, Dekan Fakulti Bahasa Arab, Dr. Siti Sara binti Haji Ahmad selaku Pengerusi Bersama Majlis telah menyerahkan resolusi berkenaan kepada tetamu kehormat.

    Persidangan yang julung-julung kalinya diadakan berkenaan merupakan hasil gabungan idea dan kerjasama tenaga akademik di antara Fakulti Bahasa Arab, UNISSA dan Pusat Bahasa, KUPU SB. Sebanyak 36 kertas kerja telah dibentangkan termasuk dua kertas utama.

    Hadir sama di majlis penutup berkenaan ialah Duta Besar dan Mutlak Kesultanan Oman ke Negara Brunei Darussalam, Sheikh Ahmed bin Hashil Bin Rashid Al-Maskari, rektor UNISSA, pemangku Ra’es KUPU SB dan para jemputan khas.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda