Serbia, kosovo anjur rundingan pertama

PARIS, 10 JULAI – Serbia dan Kosovo akan mengadakan rundingan pertama mereka hari ini dalam 18 bulan untuk mencari penyelesaian kepada salah satu perbalahan wilayah Eropah yang paling sukar diselesaikan.

Perdana Menteri Kosovo Avdullah Hoti dan Presiden Serbia Aleksandar Vucic akan mengadakan sidang kemuncak video yang juga akan disertai oleh Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Canselor Jerman Angela Merkel.

Perbincangan berkenaan akan disusuli oleh lebih banyak rundingan pada Ahad di antara Hoti dan Vucic di ibu pejabat Kesatuan Eropah di Brussels.

Serbia enggan mengiktiraf kemerdekaan Kosovo selepas wilayah itu berpisah dalam perang 1998-99 yang hanya berakhir dengan kempen pengeboman NATO ke atas tentera Serbia.

Kosovo dan Serbia telah menghadapi tekanan meningkat dari Barat untuk memulakan semula rundingan, di mana kebuntuan dilihat sebagai penting dalam usaha Belgrade untuk menyertai EU.

Juga hadir dalam rundingan dalam talian hari ini adalah ketua dasar asing EU Josep Borell dan Miroslav Lajcak, duta khas EU untuk dialog di antara Belgrade dan Pristina. – AFP

Emmanuel Macron (kanan) bercakap dalam sidang video dengan Avdullah Hoti, Aleksandar Vucic dan Angela Merkel di Istana Elysee di Paris kelmarin. – AFP