Serena akan kembali di kejohanan Kentucky

LOS ANGELES, 17 JULAI – Serena Williams akan kembali ke jelajah WTA pada kejohanan hardcourt baharu di Kentucky pada bulan Ogos, kata penganjur semalam.

Terbuka Top Seed mengatakan juara Grand Slam 23 kali, Williams dan pemenang Terbuka AS 2017, Sloane Stephens akan kembali ke gelanggang ketika kejohanan kembali semula pada 10 Ogos ini.

Williams terakhir kali beraksi sejak mewakili Amerika Syarikat di Piala Fed pada bulan Februari lalu, sebelum jelajah WTA dan sukan global lain dihentikan di tengah wabak COVID-19.

Jelajah WTA dan jelajah ATP lelaki dijadualkan untuk disambung semula pada bulan Ogos ini.

Williams telah mengatakan bahawa dia merancang untuk menyertai kejohanan Grand Slam yang dijadualkan akan datang, Terbuka AS yang dijadualkan semula akan bermula di New York pada 31 Ogos.

Kejohanan Kentucky adalah salah satu daripada dua acara baharu yang disahkan oleh ketua eksekutif WTA, Steve Simon minggu lalu sebagai penambahan dalam kalendar jelajah yang dirombak balik.

WTA dijadualkan untuk disambung semula dengan Terbuka Palermo di Itali bermula pada 3 Ogos. – AFP

Gambar fail aksi Serena Williams dari Amerika Syarikat ketika melakukan pukulan menentang Jelena Ostapenko semasa kejohanan tenis kelayakan Piala Fed di Everett, Wash pada 7 Februari lalu. Williams merancang untuk kembali ke kejohanan Kentucky bulan depan. – AP