Wednesday, April 23, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sergio Ramos cipta gol ‘lewat’ lagi

    MADRID, 13 Mac – Kapten Real Madrid, Sergio Ramos sekali lagi menjaringkan gol kemenangan di saat akhir perlawanan ketika menewaskan Real Betis 2-1 untuk membantu pasukannya memintas Barcelona untuk berada di puncak La Liga, awal pagi tadi.

    Terdahulu, bos Barca, Luis Enrique terpaksa menerima hakikat bahwa pasukannya bergelut untuk bangkit apabila tewas mengejut 2-1 di tangan Deportivo la Coruna, meskipun sebelum ini mereka mempamerkan aksi luar biasa di persaingan Liga Juara-Juara ketika menumbangkan Paris Saint-Germain.

    Kemenangan Real membolehkan pasukan itu berada dua mata di depan Barcelona dengan memiliki kelebihan beraksi kurang perlawanan.

    Bagaimanapun, kemenangan Madrid itu dicemari kontroversi apabila penjaga gol, Keylor Navas bernasib baik tidak dilayangkan kad merah pada awal permainan sebelum bertindak cemerlang menyelamatkan percubaan berbahaya Antonio Sanabria.

    Navas dengan jelasnya menjatuhkan Darko Brasanac ketika dia meluru keluar dari kawasan Real pada minit ke-20 tetapi pengadil, Antonio Mateu Lahoz mengarahkan supaya perlawanan diteruskan.

    Sergio Ramos ketika meraikan jaringan kemenangan Real Madrid dalam persaingan La Liga antara Real Madrid dan Real Betis. – AP
    Sergio Ramos ketika meraikan jaringan kemenangan Real Madrid dalam persaingan La Liga antara Real Madrid dan Real Betis. – AP

    Empat minit kemudian, Navas sekali lagi mencemaskan tuan rumah apabila dia termasukkan bola ke gawang sendiri ketika cuba menyelamatkan percubaan Sanabria, sekali gus menghadiahkan gol pertama lawan.

    Bagaimanapun Cristiano Ronaldo kembali memastikan Madrid mencapai tahap prestasi sebenar mereka dengan menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-40, yang juga merupakan gol ke-26 peribadinya pada musim ini.

    Hasrat pasukan pelawat untuk berkongsi mata semakin sukar apabila Cristiano Piccini dilayangkan kad kuning kedua, sekali gus diarahkan keluar padang ketika perlawanan berbaki 12 minit.

    Peluang itu digunakan sepenuhnya Madrid untuk terus mengasak dan tiga minit kemudian, Ramos yang masih segar dengan dua jaringan di Napoli ketika memastikan kemaraan Madrid ke suku akhir Liga Juara-Juara, menjaringkan gol kemenangan selepas menyudahkan sepakan sudut Toni Kroos dengan tandukan kencang. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda