Seri Wira FC ikat Rainbow FC, Tabuan Muda menang tipis

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Jan – Saingan Liga Perdana Brunei DST 2018/2019 diteruskan lagi dengan menyaksikan dua perlawanan yang diadakan secara berasingan antara Pasukan Seri Wira FC menentang Pasukan Rainbow FC, dan pertemuan antara Pasukan Tabuan Muda dan Pasukan BSRC FT, kelmarin.

Dalam perlawanan yang diadakan di Padang Kompleks Sukan Berakas itu menyaksikan keputusan seri 1-1 antara Pasukan Seri Wira FC dan Rainbow FC sehingga wisel penamat dibunyikan.

Gol tunggal Pasukan Seri Wira FC dijaringkan oleh Awang Mohd Rasul bin Abdul Rasheed pada minit ke-16. Manakala, gol penyamaan Pasukan Rainbow FC dijaringkan oleh Awang Abdul Yazid bin Yakup pada minit terakhir sekali gus memberi satu mata berharga buat pasukan itu.

Sementara itu, pada perlawanan yang berlangsung malam kelmarin di lokasi yang sama menyaksikan Pasukan Tabuan Muda menang tipis 2-1 ke atas Pasukan BSRC FT.

Jaringan sulung Pasukan Tabuan Muda tercipta pada minit ke-24 menerusi Awang Mohd Aisan Aizuddin bin Abdullah Mohd Aiman. Manakala pada minit ke-69, beliau sekali lagi berjaya menggandakan kedudukan sebelum pemain jersi nombor 22 Pasukan BSRC FT, Awang Syarif Ehsan bin Abd Rashid meledakkan gol tunggal buat pasukannya itu pada minit ke-85.

Dengan keputusan itu, Pasukan Tabuan Muda kini menghuni tangga kedua dalam saingan Liga Perdana Brunei DST 2018/2019 dengan kutipan mata yang sama dengan pendahulu liga, Pasukan DPMM FC yang hanya dibezakan melalui jumlah perbezaan jaringan.

Pasukan Tabuan Muda bergambar ramai sebelum sepak mula, kelmarin.